AM

Bidaan Sijil Tenaga Boleh Baharu Dibuka Bermula 7 Okt

05/10/2024 12:25 PM

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Penawaran sijil tenaga boleh baharu (REC) dibuka untuk bidaan pada 7 Okt ini bermula 12 tengah hari sehingga 11 Okt pada pukul 5 petang.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan sebanyak 1000 GWj sijil TBB daripada sumber hidro dan 100GWj sijil TBB daripada sumber solar dibuka untuk bidaan.

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan bidaan dibuka melalui platform Malaysia Green Attribute Trading System (mGATS) bagi membolehkan syarikat korporat dan entiti perniagaan memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Menurut kenyataan itu, platform bidaan mGATS telah dibangun dan dikendalikan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikatnya TNBX Sdn Bhd dilancarkan pada 8 Mei lepas.

Proses bidaan itu akan dilakukan melalui laman sesawang https://platform.mgats.com.my dan ia akan diadakan secara berterusan setiap bulan, bermula 7 hingga 11 haribulan, sehingga kesemua sijil TBB yang ditawarkan habis dibida.

Perincian urus niaga komersil sijil TBB boleh diperoleh di laman sesawang www.mgats.com.my.

PETRA memaklumkan persijilan dan pendaftaran sijil TBB yang ditawarkan akan dilakukan berdasarkan piawaian dengan badan persijilan antarabangsa seperti TRACK Foundation.

Menurut PETRA, langkah itu penting bagi memastikan dan menjamin kredibiliti sijil TBB yang diurusniagakan.

PETRA memaklumkan pembukaan bidaan sijil TBB yang dihasilkan pada tahun ini akan membolehkan syarikat korporat memenuhi komitmen ESG berdasarkan kemampuan serta keupayaan masing-masing.

Usaha itu diharap dapat merancakkan lagi pembangunan industri TBB negara, sekali gus menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan