AM

Persiapan Bawa Pulang Ex-USCGC Steadfast Ke Malaysia Bermula Hujung Tahun Ini

07/10/2024 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Persiapan untuk membawa pulang kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast ke Malaysia, yang bakal diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan bermula penghujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata antara aspek penting yang dititikberatkan semasa proses membawa pulang kapal berkenaan ialah kuasa gerak, penjanaan kuasa, struktur badan dan rangka kapal, komunikasi, pandu arah dan domestik.

“Semasa meninjau persiapan membawa balik kapal berkenaan di Baltimore, Amerika Syarikat baru-baru ini, didapati kapal itu mempunyai ruang kerja yang amat selesa bagi menempatkan pegawai dan anggota penguat kuasa APMM.

“Proses baik pulih kapal berkenaan akan dilakukan dan keberadaannya di dalam inventori aset APMM tidak lama lagi bakal meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan dalam pelaksanaan konsep operasi berteraskan ever present dan the right asset for the right mission di Zon Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau bersama delegasi sebelum itu turut melakukan kunjungan hormat terhadap Komandan United States Coast Guard (USCG) Laksamana Linda Lee Fagan di Washington D.C.

Pertemuan itu, katanya diadakan bagi memperkukuh jalinan kerjasama sedia ada antara APMM dan USCG.

“Pada pertemuan empat mata itu, Fagan turut mengucapkan tahniah atas pelantikan saya selaku Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh di samping menunjukkan minat yang tinggi untuk mengetahui visi dan strategi dirancangkan beliau dalam memacu APMM ke arah lebih cemerlang.

“Hasil pertemuan tersebut, USCG telah menyatakan sokongan dan komitmen tinggi terhadap usaha yang dilakukan APMM dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara selain menekankan pentingnya kerjasama dalam aspek keselamatan serta Intelligence Surveillance and Reconnaissance (ISR),” katanya.

Beliau berkata APMM amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh USCG dan percaya bahawa kerjasama itu akan memperkukuh keselamatan maritim negara serta memberikan manfaat kepada komuniti antarabangsa.

Semasa lawatan itu, katanya delegasi turut dibawa melawat USCG Surface Acquisitions Logistic Center di Baltimore, dengan perbincangan mengenai penyediaan peralatan sokongan kapal dan kemudahan bagi kru yang akan menjalani fasa suai kenal (familiarization) bersama aset itu diadakan.

“Antara peralatan yang telah tersedia untuk diserahkan ialah Damage Control and Fire Fighting (DCFF), peralatan domestik serta kelengkapan Onboard Spare List (OSL),” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan