AM

Penduduk Kampung Beriah Sudah Lali Dengan Banjir

08/10/2024 05:54 PM

BAGAN SERAI, 8 Okt (Bernama) -- Penduduk Kampung Beriah di sini mengakui sudah lali berdepan banjir malah sentiasa bersedia untuk menghadapi bencana itu yang berlaku hampir setiap tahun. 

Tinjauan Bernama ke kampung itu hari ini mendapati pekarangan dan bawah rumah penduduk telah digenangi air menyebabkan terdapat sesetenah penduduk meletakkan kepingan papan atau kayu untuk memudahkan mereka meniti ke jalan utama.

Warga emas, Zaini Naam, 76, berkata dia sudah menjangka banjir akan melanda setiap kali musim peralihan monsun seperti yang berlaku sekarang sejak dia tinggal di kampung itu kira-kira 40 tahun lepas. 

Dia berkata sudah menjadi kebiasaan keluarganya juga untuk mengalihkan barang-barang dan berpindah ke bahagian atas rumah mereka untuk berlindung setiap kali berlaku banjir.

"Inilah rutin kami setiap tahun apabila berhadapan dengan banjir malah kebanyakan penduduk ada yang belum menurunkan barangan yang disimpan ketika banjir sebelum ini.

"Jika dahulu banjir akan melanda sekitar Mei dan Oktober tetapi sejak akhir-akhir ini ia (banjir) cepat sedikit. Kalau ikutkan sebelum ini kami pernah berhadapan tujuh kali kejadian banjir dalam setahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Zaini berkata dia antara penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana faktor kesihatan dan keadaan fizikalnya yang membataskan pergerakan. 

Isterinya, Halimah Mat Som, 71, pula berkata rumah mereka antara paling awal yang terkesan sekiranya berlaku banjir di kampung itu kerana kedudukannya di kawasan rendah. 

Halimah berkata apabila tiba musim tengkujuh, bukan sahaja barangan di dalam rumah perlu dialihkan ke tempat tinggi penghuninya juga berpindah ke bahagian atas rumah. 

"Walaupun sudah lali dengan kejadian banjir yang berlaku saban tahun, keselamatan tetap diutamakan. Kami tidak berpindah ke PPS tetapi kami pastikan sentiasa berada dalam rumah tidak keluar mengharung banjir atau sebagainya," katanya.

Warga emas itu berkata pengalaman sering berdepan bencana banjir membolehkan dia membuat persiapan awal dengan mengalihkan barangan di tempat tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan