DUNIA

Niaga Hadapan MSM Terus Ditutup Rendah

09/10/2024 09:58 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penurunannya pada Rabu berikutan aktiviti pengambilan untung menjelang pengumuman data bulan September Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) esok, kata seorang peniaga.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa menjangkakan pengeluaran turun sebanyak satu peratus manakala eksport naik satu peratus dan stok akhir bulan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“(Unjuran itu adalah berdasarkan) eksport yang kurang memberangsangkan, kekurangan daya saing berbanding minyak kacang soya dan pengeluaran lebih rendah disebabkan kitaran rendah.

“Selain itu, paras stok tinggi adalah disebabkan eksport yang lebih rendah dan stok permulaan yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM ditutup rendah hari ini, seiring dengan prestasi lemah minyak mentah dan niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) semalaman.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 dan paras rintangan pada RM4,380,” katanya.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata eksport minyak sawit Malaysia berjumlah 235,785 tan metrik, meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh lima hari pertama Oktober.

Sementara itu, data Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) yang berpangkalan di Johor menunjukkan pengeluaran minyak sawit kilang semenanjung selatan meningkat 8.13 peratus berbanding tempoh yang sama bulan lepas.

“Persatuan Minyak Sawit Malaysia menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia pada September turun tiga peratus daripada Ogos.

“Previu penawaran dan permintaan MPOB bagi bulan September telah dikeluarkan, menunjukkan peningkatan inventori minyak sawit berikutan eksport yang lebih perlahan, manakala anggaran pengeluaran juga rendah sedikit,” katanya.

Pada sesi penutup, kontrak bulan semerta Oktober 2024 susut RM6 kepada RM4,343 satu tan metrik, November 2024 turun RM23 kepada RM4,293 satu tan metrik, Disember 2024 jatuh RM19 kepada RM4,252 satu tan metrik, Januari 2025 berkurangan RM17 kepada RM4,209 satu tan metrik, Februari 2025 susut RM12 kepada RM4,171 satu tan metrik dan Mac 2025 turun RM4 kepada RM4,135 satu tan metrik.

Jumlah dagangan turun kepada 90,582 lot daripada 111,187 pada Rabu manakala kepentingan terbuka susut kepada 248,042 kontrak daripada 250,764 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan kekal tidak berubah pada RM4,400 setan metrik.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan