AM

Pelaksanaan JS-SEZ Dan SFZ Rancakkan Industri Pelancongan Johor - Onn Hafiz

10/10/2024 10:12 AM

ISKANDAR PUTERI, 10 Okt (Bernama) -- Industri pelancongan di Johor dijangka akan terus berkembang dan rancak menerusi  pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemain industri perlu bersedia dan mempertingkatkan perkhidmatan sekali gus sebagai persediaan bagi menyambut Tahun Melawat Johor 2026.

“Industri pelancongan adalah antara yang paling teruk terjejas semasa pandemik COVID-19, apabila ramai yang hilang pekerjaan dan beberapa hotel ditutup.

“Bagaimanapun, industri ini akan kembali berkembang dan menjadi antara yang paling pesat di Johor. Pelancaran SFZ dan JS-SEZ akan mengukuhkan lagi sektor ini,” katanya pada program Larian Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Chapter 2024 di Gateway Garden, Bandar Medini, di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan, dan Budaya negeri, K. Raven Kumar

Onn Hafiz pada masa yang sama turut meminta MAH untuk memainkan peranan dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan.

“Kita perlu bersedia untuk menerima jutaan pelancong yang bakal menyerbu Johor, termasuk MAH yang akan menjadi tuan rumah, dan bilik-bilik hotel adalah penting.

“Jadi, saya minta hotel-hotel di Johor untuk menaik taraf fasiliti dan memastikan pekerja terlatih untuk memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MAH Lim Choong Sean, menzahirkan penghargaan kepada Onn Hafiz atas kepimpinan beliau dan kejayaannya dalam membantu mempromosikan industri berkenaan di negeri itu.

Beliau berkata ketika ini industri perhotelan di Johor terus berkembang dengan mencatatkan 18,654 bilik iaitu kedua tertinggi di Malaysia selepas Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan