AM

Belanjawan 2025: KPM Harap Pemantapan Ekosistem Pendidikan Diberi Keutamaan

10/10/2024 07:30 PM

KEPALA BATAS, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berharap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan minggu hadapan meletakkan keutamaan dalam memantapkan keseluruhan ekosistem pendidikan agar tiada yang terpinggir di negara ini.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah melalui banyak proses dalam mengemukakan dan membentangkan cadangan-cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan. 

"Tumpuan KPM bagi belanjawan kali ini adalah memastikan semua pelajar dan murid termasuk anak-anak berkeperluan khas tidak terpinggir daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya.

"Kita melihat belanjawan ini sangat penting, khususnya untuk meletakkan beberapa keperluan utama dalam pendidikan dan kita yakin kerajaan akan memberikan tumpuan penuh sekali lagi kepada pendidikan," katanya kepada wartawan selepas merasmikan penutupan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia di sini hari ini. 

Persidangan empat hari bermula 7 Okt yang bertemakan 'Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani' itu dihadiri 674 pengetua seluruh negara.

Fadhlina berkata antara cadangan yang dibawa KPM untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2025 termasuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di seluruh negara, sekolah daif dan baik pulih tandas.

Beliau berkata KPM turut meminta kerajaan memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.

Belanjawan 2025 bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 18 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan