AM

GISBH: Perkembangan Pembelajaran Kanak-kanak Sangat Baik - Fadhlina

10/10/2024 09:47 PM

KEPALA BATAS, 10 Okt (Bernama) -- Kanak-kanak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah memulakan kelas pembelajaran selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil alih urusan pendidikan mereka bermula 1 Okt lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkembangan pembelajaran kanak-kanak itu dilihat sangat baik.

“Saya, Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha KPM telah melakukan lawatan di lokasi-lokasi mereka ditempatkan dan kita lihat perkembangan mereka sangat baik.

“Mereka bersama dengan kaunselor-kaunselor kita melakukan semua proses pembelajaran dan kita akan memastikan mereka dapat mengikuti pendidikan secara langsung dan formal melalui modul yang kita sediakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan di sini hari ini.

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan berlangsung empat hari bermula 7 Okt yang bertemakan 'Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani' itu dihadiri 674 pengetua sekolah menengah dari seluruh negara.

Pada 23 Sept lepas, Fadhlina berkata KPM akan mengambil alih urusan pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Okt ini.

Program pendidikan itu melibatkan pelaksanaan fasa pertama selama dua bulan dan akan dilanjutkan ke fasa kedua bagi bulan berikutnya sekiranya terdapat keperluan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan