AM

Komuniti Maritim Diminta Utamakan Keselamatan, Peka Cuaca Di Laut

11/10/2024 08:56 PM

GEORGE TOWN, 11 Okt (Bernama) -- Komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan di laut selain peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kapten Razali Kasim berkata ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berikutan kurang kepekaan masyarakat terhadap cuaca kerana sebanyak 11 mayat merangkumi pelbagai insiden di laut ditemukan sejak Januari hingga semalam.

"APMM tidak menolak kemungkinan ada antaranya berpunca daripada kurangnya kepekaan masyarakat terhadap keadaan cuaca di laut sewaktu melakukan aktiviti perikanan.

“Aktiviti yang berorientasikan perniagaan termasuklah pengusaha feri juga tidak terkecuali memandang remeh tentang kepentingan keselamatan di laut memandangkan hujan lebat, angin kencang, serta laut bergelora yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengambil contoh penemuan mayat pada 7 Okt lepas, Razali berkata mangsa dibimbangi tidak menggunakan sebarang peralatan keselamatan seperti jaket selain mengambil kira keadaan cuaca di laut yang bergelora ketika itu.

Justeru, bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, APMM mempergiatkan program Pencegahan Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dengan membuat rondaan dan pemantauan di jeti sekitar pantai serta di perairan seluruh negara sebagai peringatan serta kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di laut.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Datuk Mohd Nazri Yasmin melaporkan Pulau Pinang dijangka mengalami fenomena air pasang besar pada 18 hingga 21 Okt ini berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan