SUKAN

Kompleks Sukan Di Kelantan Bakal Dilengkapi Kemudahan Sukan Berkualiti Tinggi

12/10/2024 12:30 PM

KOTA BHARU, 12 Okt (Bernama) -- Fasiliti kompleks sukan di Kelantan bakal dilengkapi antaranya arena tertutup, stadium hoki, pusat skuasy, lapang sasar menembak dan pusat akuatik berkualiti tinggi menjelang 2028, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata kesemua kemudahan itu sedang dibina di Bukit Merbau, Pasir Puteh dengan komitmen penuh untuk disiapkan sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan yang akan berlangsung pada 2028.

“Kita memang ada lawatan dan memantau teliti perkembangan pembinaan fasiliti sukan itu terutamanya kompleks sukan di Pasir Puteh dan ia harus siap sebelum SUKMA Kelantan berlangsung.

“Alhamdulillah, ingin saya menyatakan bahawa tidak ada projek sakit berhubung pembinaan kompleks sukan berkenaan dan ia berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Adam Adli berkata pembinaan kompleks sukan itu yang menelan belanja RM180 juta merupakan usaha kecil daripada Kerajaan MADANI untuk membolehkan rakyat Kelantan menikmati kemudahan sukan yang baik ke arah menghasilkan lebih ramai bakat baharu bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Beliau berkata kementeriannya juga yakin menerusi pembangunan infrastruktur bertahap tinggi, Kelantan mampu muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA.

“Selain itu, kementerian saya turut memberikan perhatian kepada aspek pembangunan bakat dalam pelbagai sukan lain yang sedang berkembang misalnya sukan berkuda.

“Saya difahamkan Kelantan sendiri mempunyai ramai bakat luar biasa dalam sukan berkuda dan HSN sebenarnya menjadi ruang penting untuk kita mempergiat usaha memperkenalkan sukan seperti ini kepada masyarakat umum,” katanya.

Adam Adli berkata kementeriannya juga memberikan fokus terhadap aspek kecergasan individu menerusi HSN selain mengembangkan potensi negeri itu dalam menghasilkan pelbagai jenama sukan tempatan.

“Saya amat yakin Kelantan tidak pernah kering dengan bakat niaga khususnya dalam kalangan anak muda maka HSN menjadi ruang terpenting untuk kita bersama-sama mencungkil bakat baharu yang berkeupayaan merancakkan pertumbuhan industri sukan tanah air,” katanya.

April lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilaporkan berkata status pembinaan fasiliti sukan untuk SUKMA sentiasa dipantau oleh Jabatan Kerja Raya dan pelaksanaan projek itu mengikut jadual dan dijangka siap pada Mac 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan