DUNIA

MDEC Sasar Pasaran Baharu Untuk Tingkatkan Peranan Malaysia Sebagai Pintu Gerbang Digital Asia

13/10/2024 11:57 PM

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

DUBAI, 13 Okt (Bernama) – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang giat meneroka pasaran antarabangsa baharu sebagai sebahagian daripada strateginya untuk meletakkan Malaysia sebagai hab ekonomi digital terkemuka.

MDEC telah menubuhkan dan mempertingkatkan ekosistem sokongan perniagaan secara berterusan dalam memudahkan kemasukan syarikat digital Malaysia di 17 pasaran global dengan daya tarikan positif di bawah program ‘Gateway, Amplify, Invest and Nurture’ (GAIN).

MDEC juga telah mengenal pasti sembilan pasaran baharu dan mula mendapat daya tarikan di empat pasaran – Brazil, Kenya, Tanzania dan Sepanyol dengan peluang eksport digital dikenal pasti, kata Ketua Pemacu Industri Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad.

“Walaupun peluang ini masih di peringkat awal, kami sedang berusaha untuk mengukuhkan perkongsian dan mempromosikan syarikat digital Malaysia untuk memastikan mereka dapat menggunakan peluang ini, menjadikannya sebagai eksport sebenar,” katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena Expand North Star ( ENS) 2024, di sini hari ini.

Wan Murdani menjelaskan bahawa strategi MDEC memberi tumpuan kepada membangunkan perkongsian baharu dan memahami keperluan khusus setiap pasaran dengan menyatakan bahawa ia pada kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk merealisasikan inisiatif eksport.

Pada skala yang lebih luas, MDEC juga menyasarkan pertumbuhan ekonomi digital di ASEAN yang diunjurkan mencecah US$1 trilion (US$1=RM4.286) menjelang 2030.

Wan Murdani menekankan kepentingan memanfaatkan 647 juta penduduk ASEAN dan menyelaraskan dasar serantau untuk perdagangan rentas sempadan dan aliran data.

Beliau berkata Malaysia harus menarik pelaburan dalam sektor teknologi utama seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan keselamatan siber untuk mewujudkan jejak digital yang kukuh di rantau ini.

“Strategi pelaburan harus memberi tumpuan kepada menarik pelaburan digital bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk pasaran ASEAN yang lebih luas.

"Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi Hab Digital ASEAN," katanya.

Wan Murdani juga berkata bahawa MDEC sedang menyelaraskan keutamaannya dengan bidang tumpuan utama Kementerian Digital iaitu infrastruktur digital, keselamatan siber dan pembangunan bakat.

Beliau menekankan keperluan untuk infrastruktur digital yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan memastikan ekosistem yang dipercayai dengan langkah keselamatan siber kukuh, menjadikan Malaysia destinasi selamat dan menarik untuk perniagaan.

“Selain itu, pembangunan bakat adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan digital dan MDEC komited untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan untuk memenuhi permintaan industri.

“MDEC telah melantik lebih 15 institusi sebagai Institusi Teknologi Digital Perdana (PDTI) untuk melahirkan bakat digital berkemahiran dan sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk menyelaraskan pembangunan kemahiran digital dengan matlamat negara,” katanya.

Wan Murdani berkata MDEC juga terbuka untuk membawa masuk bakat asing melalui inisiatif seperti Pas Pekerja Pengetahuan Asing dan Pas Usahawan Teknologi Malaysia untuk melengkapkan kumpulan bakat tempatan.

ENS adalah pameran permulaan dan pelaburan terbesar di dunia, berlangsung di Dubai Harbour dari 13 hingga 16 Oktober, menampilkan lebih 6,500 syarikat pameran, 1,800 syarikat permulaan dan 1,200 pelabur dari lebih 180 negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan