DUNIA

Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS Pada Sesi Awal

15/10/2024 11:10 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Selasa, didorong oleh sentimen optimis terhadap Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Perkembangan itu dicatatkan walaupun pasaran secara amnya kekal tidak menentu susulan kebimbangan mengenai pendirian monetari China dan AS.

Pada 8 pagi ini, ringgit mengukuh ke paras 4.2925/3080 berbanding dolar AS daripada 4.2945/2995 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari sudut ekonomi, keadaan ekonomi AS menjadi tumpuan dengan bank pusat negara maju itu dilihat tidak cenderung melaksanakan dasar monetari yang agresif selain kebimbangan terhadap langkah rangsangan China yang setakat ini tidak menepati jangkaan pakar.

“Tumpuan kini kepada langkah monetari oleh China dan AS, malah atas alasan itu dolar AS dijangka kekal kukuh,” katanya kepada Bernama.

Pada awal urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8666/8774 daripada 2.8743/8778 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.6823/6992 daripada 4.6935/6989 semalam, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.6086/6288 daripada 5.6056/6121, sebelum ini.

Selain itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu naik berbanding baht Thailand kepada 12.8927/9482 daripada 12.9310/9538, mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.2815/2936 daripada 3.2868/2909 pada akhir urus niaga semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 275.7/276.8 berbanding 275.8/276.3, semalam.

Ringgit bagaimanapun hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.47/7.50 berbanding 7.47/7.49, semalam.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan