PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA KEKAL DI ATAS PARAS 1,600 DIDORONG SENTIMEN PELABUR KUKUH

06/06/2024 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Khamis, dengan indeks utama kekal di atas paras psikologi 1,600 didorong sentimen pelabur yang kekal kukuh.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.25 mata atau 0.20 peratus kepada 1,611.78 daripada 1,608.53 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer itu dibuka 3.29 mata lebih tinggi kepada 1,611.82 dan bergerak di antara 1,609.34 dengan 1,617.05 sepanjang dagangan pagi.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 604 berbanding 451, dengan 464 kaunter tidak berubah, 849 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.02 bilion unit bernilai RM2.15 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd kecerdasan buatan, pusat data dan perkhidmatan awan di Malaysia disasar untuk mencipta peluang dagangan.

“Dalam sektor teknologi, kami mendapati peluang pertumbuhan berterusan untuk syarikat yang terlibat dalam kegiatan melibatkan pemacu cakera keras, keselamatan siber dan bekalan perkakasan.

“Selain itu, kami optimis mengenai saham pembinaan, hartanah dan utiliti yang mendapat manfaat daripada trend pusat data dalam tempoh terdekat hingga jangka masa pertengahan.

“Sektor lain yang mungkin berprestasi baik dalam keadaan ini termasuk perkapalan dan logistik, dengan kadar penghantaran dan carter yang meningkat,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM9.99 dan RM6.90, Tenaga Nasional melonjak 44.0 sen kepada RM13.70 dan IHH Healthcare menokok 5.0 sen kepada RM6.23.

Sementara itu, Public Bank susut 1.0 sen kepada RM4.12.

Antara saham aktif, WCT Holdings meningkat 18.0 sen kepada 80.5 sen, JCY International naik 4.5 sen kepada 66 sen, Sealink International menokok 4.5 sen kepada 34.5 sen, SNS Network Technology menambah 2.5 sen kepada 67.5 sen dan KGW Group naik 1.5 sen kepada 22.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 46.11 mata kepada 12,286.09; Indeks FBMT 100 naik 36.24 mata kepada 11,880.05; dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 75.24 mata kepada 12,562.66 manakala Indeks FBM 70 melonjak 103.72 mata kepada 17,641.87.

Walau bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 0.17 mata kepada 5,467.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 17.24 mata kepada 17,608.41 dan Indeks Tenaga naik 8.81 mata kepada 961.13, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.28 mata kepada 196.29 dan Indeks Perladangan kurang 36.70 mata kepada 7,100.42.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan