PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH BERIKUTAN JUALAN SAAT-SAAT AKHIR

18/06/2024 07:25 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia yang mencatatkan kenaikan awal ditutup rendah pada Selasa berikutan penjualan pada saat-saat akhir dalam saham mewah, terutama saham utiliti dan perbankan, kata penganalisis. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.07 peratus atau 1.19 mata kepada 1,606.13 daripada 1,607.32 semasa ditutup pada Jumaat lepas. 

FBM KLCI dibuka 2.07 mata lebih tinggi kepada 1,609.39, dan kemudiannya bergerak antara 1,615.09 dan 1,606.13 sepanjang dagangan. 

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 766 berbanding 480, manakala 455 kaunter tidak berubah, 699 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.92 bilion unit bernilai RM4.14 bilion daripada 5.64 bilion unit bernilai RM3.92 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, beliau kekal optimis namun berhati-hati terhadap prestasi pasaran saham tempatan berdasarkan penilaian menarik dan peningkatan jumlah dagangan di samping sentiasa berhati-hati dengan potensi aktiviti pengambilan untung.

“Kami berpandangan bahawa jualan hari ini menawarkan peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada harga lebih rendah, justeru, kami menjangkakan FBM KLCI akan meningkat dan bergerak dalam julat 1,605-1,625 untuk minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, indeks serantau utama ditutup kebanyakannya lebih tinggi berikutan aktiviti belian semasa harga rendah berikutan penjualan semalam.

Sentimen adalah positif dengan pembelian kukuh dalam sektor teknologi, terutama pusat data dan kaunter berkaitan kecerdasan buatan serta saham pengkomputeran.

Bagi saham wajaran tinggi, YTL Corporation susut 16 sen kepada RM3.50, YTL Power International (YTLPower) turun 21 sen kepada RM5.07, Axiata Group susut 4.0 sen kepada RM2.75, Kuala Lumpur Kepong (KLK) berkurangan 28 sen kepada RM20.22 dan CIMB merosot 9.0 sen kepada RM6.83.

KLK dan YTLPower turut muncul antara kaunter paling rugi -- senarai yang meliputi PIE Industrial yang turun 33 sen kepada RM6.75, Chin Hinn berkurangan 24 sen kepada RM3.34, dan Nestle dan Dutch Lady masing-masing menyusut 20 sen kepada RM124.00 dan RM37.60.

Antara kaunter paling aktif, Divfex naik 17 sen kepada 51.5 sen, Ingenieur menambah setengah sen kepada 7.0 sen, dan K-One dan MYEG masing-masing meningkat 2.0 sen kepada 29 sen dan RM1.07 manakala JCY turun 6.5 sen kepada 83 sen dan Top Glove tidak berubah pada RM1.17.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 21.31 mata kepada 12,365.14, Indeks FBMT 100 berkurangan 14.66 mata kepada 11,933.12, Indeks FBM 70 turun 45.60 mata kepada 18,105.21 dan Indeks FBM ACE berkurangan 53.21 mata kepada 5,849.27 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 11.89 mata kepada 12,739.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 59.43 mata kepada 17,519.70 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.72 mata kepada 199.67 manakala Indeks Tenaga meningkat 0.44 mata kepada 988.34 dan Indeks Perladangan naik 21.97 mata kepada 7,030.47.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 3.41 bilion unit bernilai RM3.58 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM3.36 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.27 bilion unit bernilai RM186.09 juta berbanding 1.07 bilion unit bernilai RM121.96 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.24 bilion saham bernilai RM379.17 juta berbanding 1.37 bilion saham bernilai RM440.72 juta semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 470.77 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.0 bilion), pembinaan (280.38 juta), teknologi (494.96 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (97.14 juta), hartanah (364.15 juta), perladangan (35.53 juta), REIT (16.76 juta), dana tertutup (22,100), tenaga (211.98 juta), penjagaan kesihatan (152.49 juta), telekomunikasi dan media (67.27 juta), pengangkutan dan logistik (72.54 juta), utiliti (136.50 juta), dan amanah perniagaan (1.66 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan