PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA MENINGKAT PADA SESI AWAL WALAUPUN WALL STREET BERCAMPUR-CAMPUR

12/06/2024 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal dagangan Rabu biarpun Wall Street mencatat prestasi bercampur-campur selepas sebahagian besar saham wajaran tinggi pulih akibat permintaan ketara yang merentasi semua sektor.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.76 mata kepada 1,617.25 daripada 1,611.49 yang diraih pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama FBM KLCI itu dibuka 5.14 mata lebih tinggi pada 1,616.63.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 285 berbanding 174 manakala 366 kaunter tidak berubah, 1,576 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 402.86 juta unit bernilai RM164.73 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peniaga kini menunggu data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang dijangka diumumkan lewat hari ini selain prospek Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedahnya pada masa ini.

“Berikutan itu, Dow Jones kehilangan 121 mata manakala Nasdaq naik 151 mata dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh Apple apabila harga sahamnya melonjak susulan keyakinan terhadap ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) baharunya,” katanya.

Malacca Securities Sdn Bhd pula menyifatkan perkembangan itu sebagai positif bagi sektor teknologi yang mencatat aliran kenaikan baru-baru ini, didorong oleh peningkatan permintaan untuk pelaburan pusat data di Malaysia manakala AI dan perkhidmatan awan pula mempunyai potensi bagi segmen tertentu.

“Pada masa sama, langkah beberapa pemain hartanah mengumumkan penjualan tanah kepada penyedia pusat data dan syarikat multinasional akan mendorong kenaikan selain menyebabkan kalangan pemain sektor itu terus bertahan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sektor lain yang boleh mendapat manfaat termasuk pembinaan, bahan binaan, utiliti dan tenaga boleh baharu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan TM terus mendahului dengan melonjak 19 sen kepada RM6.78, CIMB naik lima sen kepada RM6.94, IHH menokok enam sen kepada RM6.31, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.10 dan KLK menambah 32 sen kepada RM20.90.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle meningkat satu sen kepada 11.5 sen, Talam Transform meraih setengah sen kepada 2.5 sen, JAKS Resources dan Velesto masing-masing tidak berubah pada 19 sen dan 27 sen manakala SNS Network menambah enam sen kepada 81.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 46.14 mata kepada 12,419.43, Indeks FBMT 100 menambah 48.07 mata kepada 11,987.28, Indeks FBM Emas Syariah meraih 58.76 mata kepada 12,774.38, Indeks FBM 70 melonjak 94.31 mata kepada 18,072.72 dan Indeks FBM ACE meraih 10.66 mata pada 5,759.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 28.36 mata kepada 17,619.74, Indeks Perladangan naik 29.57 mata kepada 7,080.33, Indeks Tenaga menokok 1.54 mata kepada 992.28 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.26 mata kepada 199.48.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan