PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP RENDAH, SEJAJAR DENGAN NIAGA HADAPAN SERANTAU

18/06/2024 05:56 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau dan penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.

Beliau berkata penurunan harga minyak mentah dipengaruhi oleh data ekonomi China yang lemah, sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.

“Walau bagaimanapun, penurunan yang dialami pasaran getah tempatan seterusnya dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak mentah turun pada Selasa selepas mencatatkan kenaikan pada sesi sebelumnya apabila pasaran kekal berhati-hati mengenai prospek pertumbuhan permintaan global berikutan bekalan dijangkakan tinggi.

Pada 5.07 petang, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras susut 0.31 peratus kepada US$83.99 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 10.5 sen kepada 812.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal kurang satu sen kepada 792 sen sekilogram.

Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM untuk GMM 20 berada pada 807 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 792 sen sekilogram.

Pasaran Kuala Lumpur ditutup pada 17 Jun, 2024 sempena sambutan Aidiladha.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan