PASARAN > BERITA

INDEKS TENAGA BURSA LEPASI PARAS 1,000 MATA

21/06/2024 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Indeks Tenaga Bursa Malaysia baru-baru ini memuncak pada tahap 1,003.96 mata, mewakili 23 peratus pertumbuhan dan melepasi 1,000 mata,  paras tertinggi sejak Mac 2021, menurut Bursa Malaysia Bhd.

"Setakat 31 Mei 2024, Indeks Tenaga mencatatkan kenaikan sebanyak 18.3 peratus, pada masa sama turut mengatasi prestasi indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI),” kata bursa itu dalam hantaran di media sosial.

Bursa Malaysia berkata selepas musim laporan pada Mei, penganalisis bahagian jualan kekal positif terhadap sektor itu memandangkan harga minyak mentah yang tinggi, aliran kontrak berterusan dan perbelanjaan modal yang meningkat oleh syarikat minyak utama.

"Sejumlah 10 kaunter minyak dan gas dalam sektor tenaga mendapat penarafan 'beli' atau 'belian kukuh'," katanya.

Bursa berkata purata pulangan berpotensi 12 bulan bagi saham-saham tersebut ialah 26.5 peratus (minimum: 10.7 peratus, maksimum: 54.7 peratus).

"Sektor ini juga menerima peratusan tertinggi pengesyoran 'Beli' berdasarkan keputusan Mei, menunjukkan potensi peningkatan selanjutnya untuk Indeks Tenaga," katanya.

Bursa Malaysia turut menyatakan bahawa berdasarkan laporan bulanan terkini Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum, jumlah penggunaan minyak global dijangka meningkat sebanyak 2.2 juta tong sehari kepada 104.5 juta tong sehari pada 2024.

“Unjuran ini dijangka didorong oleh peningkatan permintaan perjalanan udara di samping mobiliti yang baik serta aktiviti perindustrian, pembinaan dan pertanian di negara bukan OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi),” katanya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan