PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA KEKAL DALAM KEADAAN TIDAK BANYAK BERUBAH MINGGU DEPAN

22/06/2024 10:16 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal dalam keadaan tidak banyak berubah minggu depan sehingga pemangkin baharu muncul, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walau bagaimanapun, pihaknya kekal berpandangan positif bagi jangka masa panjang terhadap pasaran tempatan, disokong oleh penilaian yang menarik, pendapatan korporat yang kukuh dan keadaan ekonomi bertambah baik.

“Berdasarkan analisis teknikal kami, FBM KLCI susut pada Khamis, menandakan corak lilin hitam (harga ditutup lebih rendah berbanding harga dibuka) kesembilan berturut-turut dan indeks penanda aras itu akan mengalami keadaan tidak banyak berubah seterusnya dan mewujudkan asas dalam jangka masa pendek hingga pertengahan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penutupan dagangan di bawah Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 50 hari boleh menandakan potensi kelemahan yang semakin ketara.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu turun naik dalam julat 1,589 hingga 1,610 minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,575, diikuti 1,565,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks utama Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan dalam julat 1,590 hingga 1,610 mata, dengan dagangan mungkin didorong oleh pelabur domestik.

Beliau berkata Wall Street dijangka berubah kepada prestasi bercampur-campur minggu depan memandangkan pelabur mungkin mencari keuntungan, terutama dalam syarikat teknologi.

Selain itu, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Amerika Syarikat (AS) bagi Jun, yang dijadualkan dikeluarkan pada 1 Julai, dijangka mengesahkan pengembangan berterusan aktiviti perniagaan sektor swasta AS untuk bulan tersebut.

“Namun, unjuran awal menunjukkan sedikit penurunan, walaupun indeks itu kekal di atas paras 50.

“Di peringkat domestik, pengumuman berjadual mengenai data penunjuk utama minggu depan akan mempengaruhi keyakinan dan jangkaan pelabur,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 16.95 mata kepada 1,590.37 daripada 1,607.32 minggu lepas.

Semasa minggu dagangan singkat, pasaran ditutup rendah terutamanya disebabkan pengambilan untung akibat kekurangan pemangkin baharu.

Pasaran ditutup pada Isnin bagi sambutan Aidiladha.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 141.62 mata kepada 12,44.83, Indeks FBM 70 merosot 223.70 mata kepada 17,927.11 dan Indeks FBMT 100 turun 101.80 mata kepada 11,845.98.

Indeks FBM Emas Syariah susut 148.31 mata kepada 12,579.17 dan Indeks FBM ACE kurang 113.43 mata kepada 5,789.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 162.60 mata kepada 17,416.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.60 mata kepada 197.79, Indeks Tenaga turun 24.90 mata kepada 963.00 namun, Indeks Perladangan meningkat 19.88 mata kepada 7,028.38.

Indeks Penjagaan Kesihatan menokok 51.13 mata kepada 2,156.19 dan Indeks Teknologi turun 1.60 mata kepada 77.70.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, jumlah dagangan berkurang kepada 22.37 bilion unit bernilai RM17.69 bilion daripada32.08 bilion unit bernilai RM21.97 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 12.93 bilion saham bernilai RM15.49 bilion daripada 19.13 bilion saham bernilai RM18.56 bilion seminggu lepas.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 5.13 bilion unit bernilai RM702.50 juta daripada 4.54 bilion unit bernilai RM530.34 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 4.30 bilion saham bernilai RM1.49 bilion berbanding dengan 8.37 bilion saham bernilai RM2.88 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan