PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA MENINGKAT NAMUN SUSUT KEMUDIANNYA AKIBAT KETIDAKTENTUAN PASARAN

26/06/2024 10:22 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal dagangan Rabu sebelum susut kemudiannya ketika sentimen pelabur kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran yang ketara, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi ini, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.62 mata kepada 1,581.76 daripada paras 1,585.38, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.01 mata kepada 1,586.39.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 251 berbanding 168 dengan 321 kaunter tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan manakala 45 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 326.71 juta unit bernilai RM136.40 juta. 

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur pada Selasa berikutan sesi berhati-hati pelabur yang menunggu pengumuman data-data penting berkaitan ekonomi Amerika Syarikat. 

Ini termasuk laporan mengenai pendapatan dan perbelanjaan pengguna yang akan memberi lebih banyak gambaran mengenai prospek pendirian berkaitan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan (Fed) negara maju itu.

Thong berkata di peringkat tempatan, FBM KLCI menunjukkan aliran penurunan berikutan sentimen pelabur yang terus berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin bagi memacu pembelian saham.

"Walaupun perkembangan sedemikian, kami percaya penjualan ini memberi peluang kepada pelabur untuk terus meninjau bagi mendapatkan saham berharga rendah.

“Namun, kami masih kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran yang meningkat dan menjangkakan indeks penanda aras itu mencatat konsolidasi sehingga petunjuk lebih jelas dapat dilihat,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan indeks penanda aras itu bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,590 dalam dagangan hari ini. 

Sementara itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun lima sen kepada RM9.86, Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM13.92 dan Public Bank naik satu sen kepada RM4.01 manakala CIMB dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM6.68 dan RM6.28.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang tidak berubah pada 6.5 sen, Ramssol Group turun satu sen kepada 58.5 sen, YGL Convergence kehilangan dua sen kepada 22.5 sen, JCY International naik tiga sen kepada 72.5 sen dan Eden Inc meraih satu sen kepada 18 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 7.61 mata kepada 12,150.76 dan Indeks FBMT 100 naik 11.12 mata kepada 11,738.56. 

Indeks FBM Emas Syariah menokok 1.60 mata kepada 12,527.51, Indeks FBM 70 naik 40.90 mata kepada 17,760.34 dan Indeks FBM ACE meraih 30.13 mata kepada 5,651.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 23.92 mata kepada 17,329.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.13 mata kepada 196.01 dan Indeks Perladangan turun 12.33 mata kepada 6,995.79.

Indeks Tenaga bagaimanapun menambah 0.01 mata kepada 953.54.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan