PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI AKHIRI HARI DAGANGAN PERTAMA SEPARUH KEDUA 2024

01/07/2024 07:18 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri hari dagangan pertama separuh kedua tahun ini dengan ditutup kukuh hari ini sejajar dengan prestasi positif bursa serantau lain dengan belian kebanyakannya dalam saham perkhidmatan kewangan. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.51 peratus atau 8.11 mata kepada 1,598.20 daripada  paras penutup 1,590.09 pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 0.17 mata kepada 1,590.26, bergerak antara paras 1,587.03 dan 1,598.36 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 685 berbanding 408, dengan 450 kaunter tidak berubah, 831 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.66 bilion unit bernilai RM2.77 bilion daripada 4.30 bilion unit bernilai RM3.08 bilion.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi positif ini dipacu oleh data kukuh sektor pembuatan daripada beberapa pasaran serantau termasuk Malaysia dan sentimen perniagaan domestik yang optimis dari Jepun. 

“Sentimen dalam kalangan peniaga positif susulan pengumuman data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan peningkatan sederhana pada Mei, menjadikan permintaan yang positif bagi pasaran Malaysia pada separuh kedua 2024,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata tumpuan global terarah kepada kemungkinan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS selepas data yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan inflasi bulanan AS tidak berubah pada Mei.

Bagi bursa tempatan, beliau yakin sentimen pasaran akan bertambah baik memandangkan data makroekonomi yang bertambah baik. 

“Tanpa  mengambil kira keadaan yang tidak dijangka, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,590-1,610 bagi minggu ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank dan Public Bank naik satu sen setiap satu masing-masing kepada RM9.97 dan RM4.03, Tenaga Nasional meningkat 22 sen kepada RM14, CIMB menokok tiga sen kepada RM6.83 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.30.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, SNS Network dan JCY International naik 8.5 sen masing-masing kepada 84 sen dan 79 sen, Nova dan EA Technique meningkat 2.5 sen setiap satu masing-masing kepada 24 sen dan 36.5 sen, manakala MYEG turun 2.5 sen kepada 99.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 66.05 mata kepada 12,282.45, IndeksFBMT 100 naik 60.29 mata kepada 11,858.35, Indeks FBM Emas Shariah menambah 72.29 mata kepada 12,624.99, Indeks FBM 70 melonjak 91.69 mata kepada 17,933.58, dan Indeks FBM ACE naik 85.68 mata kepada 5,858.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.78 mata kepada 17,496.51, Indeks Tenaga naik 15.23 mata kepada 970.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.94 mata kepada 196.79 dan Indeks Perladangan menambah 28.64 mata kepada 7,011.36. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik sedikit kepada 2.40 bilion unit bernilai RM2.39 bilion daripada 2.37 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Jumaat minggu lepas. 

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 322.21 juta unit bernilai RM36.42 juta berbanding 1.09 bilion unit bernilai RM135.71 juta sebelumnya. 

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 933.27 juta saham bernilai RM342.74 juta daripada 841.89 juta saham bernilai RM256.32 juta. 

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 354.35 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (636.85 juta), pembinaan (176.77 juta); teknologi (412.73 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (60.15 juta); hartanah (298.37 juta), perladangan (36.41 juta), REITs (20.13 juta), dana tertutup (37,400), tenaga (150.20 juta); penjagaan kesihatan (46.54 juta); telekomunikasi dan media (43.97 juta); pengangkutan dan logistik (85.14 juta); utiliti (80.19 juta); dan amanah perniagaan (3.16 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan