PASARAN > BERITA

RINGGIT SUSUT BERBANDING DOLAR AS NAMUN MENINGKAT BERBANDING MATA WANG UTAMA LAIN

19/07/2024 07:47 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila peserta pasaran terus mengambil keuntungan sementara menunggu perkembangan selanjutnya kadar faedah AS. 

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.6840/6875 daripada paras penutup 4.6680/4710 pada Khamis, turun 160 mata asas selepas meningkat sebanyak satu peratus berbanding dolar AS sejak awal bulan ini. 

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya yang menunjukkan negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan empat hingga lima peratus tahun ini.  

“Malaysia mungkin dapat melepasi sasaran itu sekiranya separuh kedua tahun ini terus mencatatkan prestasi lebih baik daripada tempoh enam bulan pertama.

“Kami melihat ini sebagai petanda dasar monetari Malaysia akan terus dikekalkan walaupun negara lain di pasaran maju dijangka melakukan perubahan kerana sebahagian daripada mereka sudahpun menetapkan pelonggaran monetari.

“Perbezaan kadar faedah yang besar antara Kadar Dasar Semalaman dan kadar faedah penanda aras negara maju akan mengecil. Ini seterusnya akan meningkatkan daya tarikan ringgit. Justeru itu, ringgit sepatutnya meningkat menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata Indeks Dolar AS (DXY) didagangkan melepasi paras 104.25 hari ini, manakala mata wang serantau jatuh di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap risiko geopolitik dan kemungkinan perubahan dasar di Amerika Syarikat.

"Selain itu, meskipun tuntutan pengangguran Amerika Syarikat meningkat kepada 243,000, data pembuatan yang kukuh telah menyokong Indeks Dolar," katanya.

Sementara itu, unit tempatan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit melantun semula berbanding yen Jepun kepada 2.9760/9786 daripada paras penutup 2.9827/9849 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 6.0452/0497 daripada 6.0628/0667 dan menokok berbanding euro kepada 5.0957/0995 daripada 5.1021/1054 sebelumnya.

Ringgit juga susut berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain kecuali baht Thailand. 

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4833/4862 daripada paras penutup 3.4807/4832 pada Khamis, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 289.2/289.6 daripada 288.9/289.2 namun meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9075/9221 daripada 12.9750/9887.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.04 daripada 8.01/8.02 pada Khamis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan