PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH MALAYSIA DIJANGKA PULIH MINGGU DEPAN

20/07/2024 10:25 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Harga pasaran getah tempatan dijangka pulih minggu depan berikutan keadaan cuaca buruk di negara pengeluar getah, kata pakar industri.

Merujuk Jabatan Meteorologi Thailand, Denis Low berkata agensi itu meramalkan Thailand akan mengalami hujan lebat dan memberi amaran mengenai banjir kilat.

“Penoreh getah akan lebih berhati-hati dan dijangka mengurangkan aktiviti menoreh dan pemprosesan getah lain.

“Pengeluaran getah yang rendah akan meningkatkan aktiviti menyimpan dan menambah stok oleh pengguna,” katanya kepada Bernama.

Low berkata situasi geopolitik semasa dan krisis Laut Merah menyebabkan masalah rantaian bekalan dan menjejaskan harga komoditi, membawa kepada kekurangan sumber utama seperti minyak dan gas yang menjejaskan pengeluaran perindustrian di seluruh dunia.

Katanya kadar pertukaran yang tidak menentu akan memberi impak yang ketara kepada harga getah dan mewujudkan dilema berikutan kadar pertukaran semasa cenderung dipengaruhi oleh geopolitik berbanding ekonomi sebenar.

“Ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi dunia boleh menjadi positif atau ancaman kepada penggunaan getah.

“Oleh itu, pembeli cenderung untuk berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga berkata komoditi itu akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras dengan optimisme terhadap penurunan kadar faedah AS yang lebih awal.

“Peniaga akan memantau petunjuk ekonomi seterusnya daripada negara-negara utama terutamanya dasar ekonomi China yang akan datang selain perkembangan mengenai ketegangan tarif China-Eropah dan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 merosot 13 sen kepada 772 sen sekilogram daripada minggu lepas manakala susu getah pukal susut 39 sen kepada 615 sen daripada sebelum ini.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 778 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 615 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan