PASARAN > BERITA

PASARAN PANTAU IHP JUN MALAYSIA, KADAR AS UNTUK LIHAT PRESTASI RINGGIT

20/07/2024 10:37 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Pelabur dijangka mengalihkan tumpuan mereka ke arah mata wang Asia, termasuk ringgit pada minggu depan untuk mengurangkan ketidaktentuan yang menyelubungi dolar US, kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan.

Pasaran akan terus memantau perkembangan tempatan dan global bagi mengukur prestasi pasaran pertukaran asing.

“Ringgit mungkin diniagakan dalam lingkungan 4.69 hingga 4.70 disebabkan pengekalan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Sebaliknya, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu ringgit dijangka kekal pada paras RM4.67 minggu depan dengan data penting yang perlu diperhatikan ialah Indeks Harga Pengguna Malaysia pada Jun memandangkan pelabur akan memberi tumpuan terhadap kesan rasionalisasi subsidi diesel.

“Kami percaya kadar inflasi akan naik kepada 2.1 peratus daripada 2.0 peratus sebelum ini. Ini memberikan banyak sebab agar Kadar Dasar Semalaman perlu kekal stabil untuk mencapai keseimbangan yang betul antara menggalakkan pertumbuhan dan kadar inflasi yang seimbang,” tambahnya.

Sepanjang minggu lepas, kadar pertukaran ringgit dan dolar US bergerak antara serendah 4.6840/6875 pada 19 Julai kepada paras tertinggi 4.6625/6660 pada 17 Julai.

Sebelum ini, ringgit telah mencecah paras tertinggi baharu enam bulan setiap hari sejak Jumaat minggu lepas.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit memuncak pada 4.6840/6875 berbanding dolar US, daripada 4.6700/6730 yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya.

Ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding euro kepada 5.0957/0995 daripada 5.0838/0870, jatuh berbanding pound Britain kepada 6.0452/0497 daripada 6.0481/0520 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 2.9760/9786 daripada 2.9338/9359.

Ringgit juga diniagakan agak rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.04 daripada 8.00/8.00, menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 289.3/289.7 daripada 289.1/289.5.

Mata wang tempatan itu juga tidak bermaya berbanding dolar Singapura kepada 3.4833/4862 daripada 3.4768/4793, melembap berbanding baht Thai kepada 12.9075/9221 daripada 12.9023/9160.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan