PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI SUSULAN AKTIVITI AMBIL UNTUNG

22/07/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi dengan lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung yang merentasi kebanyakan kaunter berkaitan indeks utama selepas dagangan ditutup meningkat pada Jumaat.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 17.24 mata kepada 1,619.31 daripada 1,636.55, sebelum ini.

Indeks dibuka menokok 0.57 mata kepada 1,637.12 dan bergerak dalam julat 1,616.74 hingga 1,637.12 pada sesi pagi.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 1,151 berbanding 169 manakala 309 kaunter lain tidak berubah, 819 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya. 

Jumlah dagangan sebanyak 3.57 bilion unit bernilai RM1.90 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi semalaman pasaran di Amerika Syarikat (AS) dijangka turut memberi kesan ke atas pasaran tempatan dalam bentuk aktiviti pengambilan untung.

“Bagaimanapun, kami percaya fasa konsolidasi ini akan turut menjadi tempoh sesuai bagi pelabur yang mahu mendapatkan saham pada harga lebih rendah dengan menyasarkan saham dalam sektor pembinaan, utiliti, bahan binaan serta hartanah berikutan wujudnya pemangkin membabitkan penubuhan pusat data.

“Kami juga memilih sektor perkapalan memandangkan ketegangan di Laut Merah selain sektor pengguna, minyak dan gas serta telekomunikasi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut 4.0 sen kepada RM10.06 dan RM14.40, CIMB Group dan IHH Healthcare berkurangan 6.0 sen kepada RM7.09 dan RM6.27 manakala Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.22.

Bagi saham aktif, BWYS Group yang muncul pertama di Pasaran ACE menokok 14.0 sen kepada 36 sen dan Hubline Bhd kekal tidak berubah pada 10 sen.

Sapura Energy pula turun setengah sen kepada 4.0 sen, Ekovest Bhd susut 1.5 sen pada 55 sen dan JAKS berkurangan 1.0 sen kepada 18 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 142.84 mata kepada 12,516.42, Indeks FBMT 100 berkurangan 134.14 mata kepada 12,098.28, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 172.18 mata kepada 12,864.92, Indeks FBM 70 merosot 225.53 mata kepada 18,602.48 manakala Indeks FBM ACE turun 76.63 mata kepada 5,857.58.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 84.75 mata kepada 17,888.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.60 mata kepada 194.42 dan Indeks Tenaga berkurangan 15.19 mata kepada 960.40.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna pula menguncup 7.50 mata kepada 588.33, Indeks Pembinaan berkurangan 7.32 mata kepada 307.38, Indeks Teknologi susut 1.11 mata kepada 76.01 manakala Indeks Perladangan turun 38.49 mata kepada 7,186.36.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan