PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP TINGGI BERIKUTAN JANGKAAN PENURUNAN KADAR FAEDAH FED

22/07/2024 07:36 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan Indeks Dolar AS (DXY) merosot disebabkan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.6805/6835 berbanding dolar AS daripada 4.6840/6875 semasa ditutup minggu lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mendapat sokongan baik pada RM4.68 hari ini manakala pasaran ekuiti dilhat berdepan pembetulan selanjutnya.

Beliau berkata pelabur sedang menantikan pengumuman data Indeks Pengurus Pembelian Global (PMI) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada minggu ini untuk mendapatkan gambaran mengenai keadaan ekonomi AS.

Sentimen kecenderungan menaikkan kadar faedah dalam pendirian dasar Fed memberikan tekanan terhadap dolar AS. 

Selain itu, Afzanizam berkata berita mengenai Presiden AS Joe Biden yang mengumumkan tidak bertanding semula pada pilihan raya Presiden AS November depan menunjukkan bahawa Donald Trump daripada Republikan mungkin mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.

“Apa yang dikatakan sebagai Trump Trades, yang berkisar kepada pengembangan dasar fiskal dan perselisihan yang meningkat dengan China, telah menyebabkan sentimen pasaran menjadi tegang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mata wang tempatan merosot berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9869/9892 daripada 2.9760/9786 semasa ditutup pada Jumaat, berkurangan berbanding pound Britain kepada 6.0514/0553 daripada 6.0452/0497 dan rendah berbanding euro kepada 5.0971/1003 daripada 5.0957/0995 sebelum ini.

Ringgit meningkat berbanding mata wang Asean lain. 

Mata wang itu naik berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.03 daripada 8.03/8.04 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 288.5/288.8 daripada 289.2/289.6.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8975/9118 daripada 12.9075/9221 sebelumnya dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.4804/4829 daripada 3.4833/4862 semasa ditutup minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan