PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan MSM ditutup rendah

29/07/2024 09:54 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan penurunan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT), kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga olein sawit Dalian yang rendah juga mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran juga memberi tekanan ke atas harga. Kami melihat paras sokongan pada RM3,850 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis kanan Fastmarkets Sathia Varqa berkata MSM kekurangan hala tuju kukuh berikutan peningkatan pengeluaran dan lonjakan eksport. 

“Peningkatan nilai ringgit juga memberikan lagi tekanan terhadap niaga hadapan MSM,” katanya.  

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dalam satu kenyataan hari ini berkata purata harga bulanan bagi MSM ialah pada RM3,960 setan metrik pada Jun 2024, meningkat daripada RM3,900 setan metrik pada bulan sebelumnya.

Ketua perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan harga MSM itu adalah disebabkan jangkaan bekalan terhad dari Malaysia dan Indonesia menjelang akhir 2024 dan peningkatan eksport minyak sawit.

Pada sesi penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2024 turun RM23 kepada RM4,021 setan metrik, September 2024 susut sebanyak RM31 kepada RM3,944 setan metrik dan Oktober 2024 berkurangan RM34 kepada RM3,908 setan metrik.

Kontrak November 2024 susut RM38 kepada RM3,889 setan metrik, Disember 2024 turun RM44 kepada RM3,881 setan metrik dan Januari 2025 berkurangan RM46 kepada RM3,887 setan metrik.

Jumlah dagangan meningkat kepada 73,579 lot daripada 52,074 lot pada Jumaat minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik 223,486 kontrak daripada 218,561 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan turun RM10 kepada RM4,050 setan metrik.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan