PASARAN > BERITA

FBM KLCI Dijangka Bergerak Turun Naik Antara Paras 1,610 Dan 1,632 Minggu Depan

17/08/2024 10:27 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran antara paras 1,610 dan 1,632 pada minggu depan, kata seorang penganalisis.

Ini berikutan petunjuk teknikal menunjukkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut daripada semua petunjuk carta teknikal exponential moving averages (EMA) dan EMA 20 hari, kata naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.

Beliau berkata momentum indeks petunjuk pasaran itu menunjukkan kemungkinan menuju ke paras rintangan seterusnya pada 1,632.

“Sekiranya indeks itu berjaya melepasi paras ini, ia berpotensi untuk terus naik. Bagaimanapun, paras sokongan sekarang berada pada 1,610. Justeru, kami menjangkakan indeks itu berlegar pada paras 1,610-1,632 minggu depan,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata beliau optimis dengan prestasi pasaran ekuiti Malaysia ketika ini. 

“Ekonomi Malaysia berkembang baik, dengan pertumbuhan meningkat menuju ke paras 5.0 peratus tahun ini, mencapai tahap tertinggi unjuran negara,” katanya. 

Beliau berkata perbelanjaan pengguna dan lonjakan eksport telah merangsang ekonomi, terutamanya pada suku kedua yang mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus. 

“Paras itu malahan lebih tinggi berbanding anggaran 5.8 peratus sebelumnya yang apabila dibuat pecahan menunjukkan ekonomi berkembang sebanyak 2.9 peratus secara berurutan daripada suku sebelumnya yang, sudah tentunya sangat mengagumkan.

"Memandangkan prestasi ekonomi yang kukuh ini, tidak banyak faktor dalam negara yang boleh menjejaskan pasaran. Pertumbuhan seperti ini meletakkan asas kukuh untuk menyokong momentum kenaikan yang berterusan,” kata Innes.

Selain itu, beliau berkata, jika ekonomi Amerika Syarikat (AS) dapat mengawal kemelesetan, Bursa Malaysia dijangka boleh melonjak ke jajaran 1,620-1,630 minggu depan.

 “Dengan asas tempatan kelihatan kukuh dan prestasi global yang positif, saya yakin kita akan mencatatkan peningkatan lebih tinggi, selagi tiada sebarang perkembangan negatif di AS,” kata Innes. 

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat sebanyak 27.85 mata kepada 1,623.90 daripada paras 1,596.05 minggu sebelumnya. 

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas menigkat 159.96 mata kepada 12,335.13, Indeks FBMT 100 naik 168.50 mata kepada 11,976.09.

Indeks FBM Emas Shariah menambah 159.96 mata kepada 12,335.13, Indeks FBM 70 naik 114.66 mata kepada 17,843.65 dan Indeks FBM ACE menokok 21.32 mata kepada 5,398.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 365.89 mata kepada 18,419.72, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.50 mata kepada 183.79, Indeks Tenaga meningkat 30.46 mata kepada 952.10 dan Indeks Perladangan menambah 110.08 mata kepada 7,184.00.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan turun kepada 17.67 bilion unit bernilai RM13.44 bilion berbanding 29.29 bilion unit bernilai RM23.34 bilion pada minggu sebelumnya. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 9.89 bilion saham bernilai RM11.85 bilion berbanding 18.54 bilion saham bernilai RM21.18 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 5.21 bilion unit bernilai RM680.11 juta daripada 6.61 bilion unit bernilai RM826.77 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 2.08 bilion saham bernilai RM907.09 juta daripada 4.11 bilion saham bernilai RM1.32 bilion sebelumnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan