PASARAN > BERITA

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Kukuh Minggu Depan

17/08/2024 10:34 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal  diniagakan tinggi minggu depan berikutan keyakinan tinggi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah pada bulan September depan, kata Pengarah Urusan SPI  Asset Management Stephen Innes.

Selain itu, emas diunjurkan mencatat keuntungan kerana ia berfungsi sebagai lindung nilai kukuh terhadap peningkatan risiko geopolitik terutamanya susulan ketegangan yang semakin meningkat di sempadan negara-negara Eropah disebabkan tentera Ukraine telah memasuki wilayah Kursk, Rusia.

“Naratif itu menunjukkan bahawa emas akan mendapat permintaan bukan sahaja sebagai perlindungan terhadap risiko politik dan geopolitik global AS tetapi juga sebagai lindung nilai terhadap potensi kelembapan ekonomi AS yang akhirnya boleh memaksa Fed untuk menurunkan kadar faedah dengan lebih agresif,” katanya kepada Bernama.

Justeru beliau menjangkakan harga emas berada pada julat antara US$2,450 dan US$2,490 setiap auns troy.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Ogos 2024 naik kepada US$2,484.30 setiap auns daripada US$2,427.40 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, kontrak September 2024, Oktober 2024, November 2024, Disember 2024 dan Februari 2025 semuanya ditutup kukuh pada US$2,488.00 setiap auns troy daripada US$2,431.10 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas naik kepada 244 lot daripada 162 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka menokok kepada 135 kontrak daripada 56 kontrak pada minggu terdahulu.

Harga emas fizikal adalah US$2,446.65 setiap auns troy, menurut penetapan tengah hari oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 15 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan