PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

21/08/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini, didorong oleh aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi, diterajui oleh sektor kewangan, utiliti dan produk pengguna.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.19 peratus atau 3.22 mata kepada 1,639.55 daripada 1,642.77 sebelum ini.

Indeks dibuka rendah 1.05 mata kepada 1,641.72 dan bergerak antara 1,635.59 dan 1,646.38 pada sesi pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 472 berbanding 437, dengan 477 kaunter tidak berubah, 1,094 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.97 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, dengan penurunan di Wall Street, aktiviti pengambilan untung dijangka meluas kepada saham teknologi tempatan.

“Selain itu, ringgit yang kukuh boleh mengurangkan minat terhadap syarikat teknologi tempatan. 

“Bagaimanapun, perhatian mungkin beralih kepada sektor pengguna, bahan binaan, pembinaan, hartanah, tenaga boleh baharu dan perkapalan berdasarkan jangkaan pendapatan yang lebih stabil menjelang keputusan kewangan korporat,” katanya.

Katanya wabak mpox atau cacar monyet boleh dipantau untuk potensi peluang dagangan dalam saham penjagaan kesihatan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group menambah 7.0 sen kepada RM7.92, IHH Healthcare naik 2.0 sen kepada RM6.34 dan Maybank merosot 2.0 sen kepada RM10.58.

Public Bank susut 6.0 sen kepada RM4.61, Tenaga Nasional berkurangan 14.0 sen kepada RM13.86 dan MR D.I.Y merosot 7.0 sen kepada RM2.08.

Ketiga-tiga syarikat ini secara kolektif menyebabkan indeks utama merosot sebanyak 4.49 mata.

Dalam kalangan saham aktif, Cape EMS dan MY E.G. Services, masing-masing naik 3.0 sen kepada 43.0 sen dan 93.5 sen, Wentel Engineering meningkat 1.5 sen kepada 35.0 sen, Tanco Holdings menambah 3.5 sen kepada RM1.01 dan Oversea Enterprise tidak berubah pada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 6.04 mata kepada 12,435.81, Indeks FBMT 100 meningkat 4.33 mata kepada 12,092.94, Indeks FBM Emas Shariah menambah 11.75 mata kepada 12,370.93, Indeks FBM 70 menokok 110.23 mata kepada 18,022.87 dan Indeks FBM ACE naik 8.41 mata kepada 5,338.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 2.58 mata kepada 19,199.73 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.11 mata kepada 182.71.

Sementara itu, Indeks Tenaga merosot 0.91 mata kepada 933.64 dan Indeks Perladangan jatuh 25.71 mata kepada 7,120.44.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan