Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa berikutan aliran keluar dana asing apabila pelabur terus menilai ketegangan yang memuncak antara Israel dan Iran, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.35 mata atau 0.54 peratus kepada 1,511.64 daripada 1,519.99 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.17 mata lebih rendah kepada 1,518.82 dan turun naik antara 1,510.92 hingga 1,520.89 sepanjang sesi dagangan.
Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan 538 kaunter rugi mengatasi 353 kaunter untung, manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,031 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.03 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 2.83 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup bercampur-campur apabila pelabur terus bimbang mengenai ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Beliau juga berkata banyak pihak menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedahnya esok, dengan tumpuan terarah kepada panduan yang diberikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell mengenai masa yang tepat bagi pengurangan kadar faedah akan datang.
“Di peringkat domestik, kami mengekalkan pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, dengan mengambil kira bahawa sentimen pelabur mungkin kekal tidak menentu,” katanya kepada Bernama.
Susulan ketidaktentuan berkaitan perdagangan, firma broker ekuiti dalam talian itu menasihatkan pelabur supaya menumpukan kepada sektor yang mempunyai asas domestik kukuh seperti utiliti, hartanah dan perkhidmatan kewangan.
“Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat antara 1,500 hingga 1,530 sepanjang minggu ini, yang mewakili paras sokongan dan rintangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur terus menilai ketegangan yang memuncak antara Israel dan Iran susulan gesaan Presiden AS Donald Trump agar pemindahan segera dilakukan di Tehran.
Beliau berkata ketidaktentuan geopolitik yang kembali memuncak ini sekali lagi menjadikan Asia Barat sebagai paksi kebimbangan pasaran global.
Pasaran ekuiti mengalami penyusutan disebabkan konflik ketenteraan yang semakin meruncing di rantau tersebut dibimbangi boleh mengganggu rantaian bekalan minyak, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi global, katanya.
Mohd Sedek berkata bagaimanapun, dari segi ekonomi, China telah mencatatkan data makro yang lebih kukuh daripada jangkaan, sekali gus meredakan keseluruhan kebimbangan terhadap ketidaktentuan dasar perdagangan.
“Jualan runcit meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun pada Mei, mengatasi jangkaan peningkatan 4.9 peratus, manakala kadar pengangguran turun kepada 5.0 peratus daripada 5.1 peratus pada bulan sebelumnya -- menunjukkan ekonomi domestik yang lebih berdaya tahan walaupun berdepan cabaran luaran,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank turun 4.0 sen kepada RM9.55, Tenaga susut 6.0 sen kepada RM14.30, Public Bank menguncup 1.0 sen kepada RM4.22, CIMB merosot 9.0 sen kepada RM6.66, manakala IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM6.89.
Bagi saham paling aktif pula, Borneo Oil mendatar pada 1.0 sen, Top Glove susut 4.0 sen kepada 71.5 sen, Velesto Energy turun setengah sen kepada 18.5 sen, manakala Tanco naik 2.0 sen kepada 97.5 sen dan YTL Corp kekal pada RM2.15.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 57.51 mata kepada 11,303.28 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 55.81 mata kepada 11,082.54.
Indeks FBM Emas Syariah turun 55.29 mata kepada 11,318.37, Indeks FBM ACE kurang 28.84 mata kepada 4,442.97, dan Indeks FBM 70 susut 60.46 mata kepada 16,223.00.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut merosot 99.53 mata kepada 7,250.74 dan Indeks Tenaga turun 13.39 mata kepada 738.77.
Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 104.43 mata kepada 17,396.56, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.98 mata kepada 150.15.
Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 1.19 bilion unit bernilai RM1.61 bilion berbanding dengan 1.25 bilion unit bernilai RM1.80 bilion ketika ditutup semalam.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.62 bilion unit bernilai RM245.78 juta daripada 1.35 bilion unit bernilai RM171.62 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 210.30 juta unit bernilai RM71.29 juta daripada 228.89 juta unit bernilai RM74.30 juta pada Isnin.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 188.54 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (195.14 juta), pembinaan (88.59 juta), teknologi (123.68 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (70.50 juta), hartanah (133.44 juta), perladangan (15.77 juta), REIT (20.46 juta), dana tertutup (300), tenaga (139.17 juta), penjagaan kesihatan (119.06 juta), telekomunikasi dan media (28.46 juta), pengangkutan dan logistik (25.18 juta), utiliti (45.00 juta), dan amanah perniagaan (600).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial