POLITIK > BERITA

DUN NENGGIRI PERLU BANTUAN KERAJAAN PUSAT, BAWA PROJEK UNTUK RAKYAT- AHMAD MASLAN

23/07/2024 09:46 PM

ALOR GAJAH, 23 Julai (Bernama) -- Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan khususnya daripada aspek kewangan, untuk membangunkan lebih banyak prasarana dan projek mega buat rakyat di kawasan itu. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata di bawah pentadbiran kerajaan pusat khususnya UMNO sebelum ini, pelbagai pembangunan dilaksanakan di Nenggiri dan terbaharu ialah Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR), yang melalui pinggir jalan utama Gua Musang dan Kuala Krai.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata CSR berkenaan merupakan hadiah kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan dan segala pembangunan yang dilaksanakan adalah untuk mereka.

“Gua Musang ini ialah kawasan luar bandar... ia amat memerlukan kekuatan kewangan kerajaan pusat untuk membangunkannya dan kerajaan negeri tidak mampu membangunkannya.

“Mereka tidak ada duit untuk membuat pembangunan yang besar-besar di Gua Musang... yang ada hanya kerajaan pusat dan saya harap pengundi menyedari tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) 2024, di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) Simpang Ampat di sini hari ini.

Pada 19 Jun, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan