POLITIK > BERITA

MIC terbuka terima semula bekas ahli parti - Vigneswaran

07/08/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- MIC terbuka untuk menerima bekas ahli yang ingin kembali kepada parti itu, kata Presidennya Tan Sri SA Vigneswaran.

Beliau berkata perkara berkenaan diputuskan pada mesyuarat ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang diadakan hari ini.

Vigneswaran berkata CWC sedang mempertimbangkan rayuan yang dibuat beberapa bekas ahli parti.

"Seorang daripada mereka yang telah kita terima balik sebagai ahli ialah Awtar Singh (bekas Ketua MIC Puchong) yang telah membuat rayuan pada hari ini dan CWC telah memberi ruang kepada beliau untuk menghadiri sendiri mesyuarat majlis tertinggi dan rayuan beliau telah dipertimbangkan.

"Ini adalah keputusan Ahli Majlis Tertinggi dan kami (Presiden dan Timbalan Presiden) akur dengan keputusan tersebut," katanya pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat pertama CWC penggal 2024-2027 di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini. 

Mesyuarat juga membincangkan hala tuju parti itu serta usaha yang perlu dilakukan bagi menawan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Selain itu, Vigneswaran berkata persidangan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC akan diadakan pada 1 Sept ini manakala Mesyuarat Agung parti akan diadakan pada 15 Sept di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Sementara itu, MIC turut mengenal pasti seramai 5,144 pengundi India yang akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Mahkota, Johor.

Oleh itu, Vignesawaran berkata jentera partinya akan turun padang untuk membantu memperoleh undi kepada calon kerajaan yang akan bertanding pada PRK berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan