SUKAN > BERITA

SELANGKAH LAGI UNTUK LI JANE RAIH KEJUARAAN TERBUKA AS

18/06/2024 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Pemain boling negara Sin Li Jane memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) di Royal Pin Woodland, Indianapolis.

Pemain berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang selepas muncul pilihan utama antara lima finalis pertarungan stepladder Ahad lepas (Isnin di Malaysia).

Menurut laman web rasmi Kongres Boling Amerika Syarikat (USBC), Li Jane semakin menghampiri kejuaraan selepas mendahului carta 25 pemain dengan jatuhan 12,474 pin selepas 56 perlawanan selama lima hari.

Diana Zavjalova dari Latvia menduduki tempat kedua dengan 12,222 jatuhan pin, diikuti tuan rumah Stefanie Johnson (12,209), Verity Crawley dari England (12,207) dan seorang lagi warga Amerika Breanna Clemmer (12,118).

Berdasarkan format, pemain tempat keempat dan kelima akan berentap dan pemenang akan mara ke peringkat seterusnya untuk mencabar pemain pada kedudukan lebih tinggi dan seterusnya sehingga bertemu pilihan utama untuk menentukan juara.

Menurut USBC, juara akan membawa pulang hadiah wang AS$60,000 (kira-kira RM282,900) selain jaket hijau kejuaraan dan trofi, manakala naib juara menerima AS$30,000 (kira-kira RM141, 500)

Pada 31 Mei lepas, Li Jane merangkul kejuaraan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) ketiganya dengan memenangi Greater Nashville Classic dan sebelum itu beliau memenangi Bowlers Journal Rockford Open pada 11 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan