SUKAN > BERITA

BEN LEONG LAKAR KEMENANGAN SULUNG GOLF JELAJAH TOYOTA DI SIBU

27/06/2024 11:03 PM

SIBU, 27 Jun (Bernama) --- Bintang veteran Ben Leong berjaya mengekalkan ketenangan berdepan cabaran sengit Edven Ying dan Daeng Rahman untuk memenangi Kejuaraan Golf Jelajah Toyota  pertamanya di Kelab Golf Sibu di sini hari ini.

Leong membawa hadiah Piala Fortuner dengan merangkul kejuaraan selepas mengatasi kedua-dua pencabar dengan empat pukulan pada saingan tiga pusingan.

Pada pusingan penentuan, Leong merakamkan lima bawah par 65 selepas melakukan 63 dan 66 masing-masing pada pusingan pertama dan kedua untuk mengumpul sejumlah 16 bawah  par 194.

Daeng, juara Piala Alphard di Forest City, Johor dan Edven, juara Piala Vious di Kelab Golf Templer Park pada 2023 yang mengekori rapat sejak pusingan pertama masing-masing mengumpul 12 bawah par 198.

 “Saya cukup teruja selepas akhirnya menang para siri Jelajah Toyota,” kata Leong yang akan kembali ke Jelajah Asia pada penghujung Ogos dengan penyertaan di Indonesia, Taiwan dan China.

Sementara itu, pemain amatur kelahiran Miri, Mirabel Ting merangkul kejuaraan  wanita buat pertama kali  apabila melakarkan lima bawah par 65 di pusingan ketiga untuk mengumpul jumlah catatan lima bawah par 205.

Tempat kedua menjadi milik Geraldine Wong dengan 216 pukulan diikuti Michelle Koh di tempat ketiga dengan 220 pukulan.

Hanya lima wanita bertanding dalam kejohanan itu.

Dalam pada itu, Hayden Hah dinobatkan sebagai pemain lelaki amatur terbaik apabila menamatkan saingan dengan lima bawah par 215 pukulan di tempat ke-34 daripada keseluruhan  63 peserta dari seluruh negara.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak,  Joshua Ting yang mewakili  Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan