SUKAN > BERITA

'SEMANGAT JUARA' LAGU TEMA RASMI KONTINJEN MALAYSIA DI OLIMPIK PARIS

19/07/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- ‘Semangat Juara’ akan menjadi lagu tema rasmi kontinjen Malaysia untuk merangsang atlet negara mencapai tahap yang lebih tinggi di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendedahkan lagu dibawakan oleh penyanyi terkenal Faizal Tahir bersama video muzik rasminya itu melalui satu hantaran di Facebook hari ini.

Menariknya, video muzik tersebut menampilkan beberapa atlet Ollimpik dan Paralimpik seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Datuk Abdul Latif Romly dan Bonnie Bunyau Gustin.

Dalam satu hantaran berasingan di Facebook, MOM menyatakan bahawa Allianz Malaysia Bhd akan menyediakan perlindungan insurans untuk kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sokongan oleh Allianz akan menyemai keyakinan dan memberi dorongan kepada atlet Malaysia apabila mereka mewakili negara pada temasya sukan itu bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Bagi Sukan Olimpik Paris, 26 atlet Malaysia akan diberi perlindungan insurans oleh Allianz sepanjang mereka berada di Paris. Allianz sangat berkait rapat dengan sukan dan kami gembira dengan sokongan mereka.

“Rakan kongsi seperti Allianz akan memberi manfaat besar kepada kami kerana mereka terlibat secara aktif dalam sukan dan merupakan salah satu Rakan Olimpik Sedunia dengan menyokong Pergerakan Olimpik di peringkat global.

“Saya percaya banyak yang boleh kita pelajari daripada Allianz dan memaanfaatkan rangkaian mereka untuk membantu atlet kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka terhadap kesejahteraan dan keselamatan atlet negara, membolehkan atlet menumpukan perhatian kepada prestasi sambil mempunyai ketenangan fikiran tentang perlindungan mereka.

“Allianz Malaysia memulakan kerjasama ini dengan MOM apabila kami menyediakan perlindungan insurans perjalanan kepada kontinjen Malaysia yang bertanding di edisi Olimpik 2020 di Tokyo.

“Kami menyedari ketika itu bahawa kami boleh melakukan lebih banyak lagi untuk MOM dan atlet negara. Jadi, kami memformalkan kerjasama kami dengan menyediakan perlindungan insurans tambahan untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Asia ke-19 di Hangzhou 2022 dan Sukan SEA ke-32 di Kemboja pada 2023,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Allianz akan menyediakan perlindungan insurans perjalanan kepada seluruh kontinjen Malaysia termasuk pegawai MOM.

Allianz Malaysia juga akan meneruskan program “MoveForward” untuk atlet semasa dan bekas atlet negara. Program ini bertujuan untuk menyokong mereka apabila mereka melangkah ke fasa seterusnya dalam kerjaya dengan membantu meningkatkan literasi kewangan dan kemahiran insaniah mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan