SUKAN > BERITA

PASUKAN SILAT SUKMA KEDAH SASAR ENAM PINGAT DI SARAWAK

19/07/2024 04:51 PM

ALOR SETAR, 19 Julai (Bernama) -- Walaupun lebih 80 peratus atlet silat yang akan mewakili Kedah ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Sarawak, Ogos depan terdiri daripada muka baharu, pasukan itu yakin dapat menyumbangkan enam pingat pada temasya berkenaan.

Ketua Jurulatih Silat SUKMA Kedah Ahmad Faisal Omar berkata 11 daripada 14 atletnya merupakan muka baharu dan akan membuat penampilan sulung pada temasya itu, dan dia yakin dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa mampu diperolehi menerusi silat seni dan silat olahraga.

“Lima atlet akan bertanding dalam silat seni dan sembilan dalam silat olahraga…daripada jumlah itu, hanya tiga atlet merupakan muka lama dan selebihnya muka baharu, tetapi kita yakin sasaran enam pingat itu mampu dicapai.

“Keyakinan ini berikutan komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh setiap atlet walaupun ada yang sibuk dengan sesi pengajian masing-masing...ia juga dilihat berdasarkan pencapaian yang diperoleh semasa SUKMA Kuala Lumpur pada 2022,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau menjangka satu pingat emas bagi kategori silat olahraga dapat diperolehi menerusi Nur Izyanie Mysarah Noor Izham yang merupakan pemenang pingat emas pada temasya SUKMA lepas.

“Latihan diadakan setiap hari iaitu pada pukul 8 hingga 11 pagi dan 3.30 hingga 6 petang..komitmen yang diberikan oleh semua atlet sangat tinggi, kerana hendak lepas pusingan awal pun sukar, jadi memang kena latih mereka habis-habisan supaya dapat pergi ke peringkat akhir,” katanya.

Ahmad Faisal berkata pihaknya menitikberatkan tahap kesihatan setiap atlet dan sentiasa memastikan tahap kecederaan mereka dapat dikurangkan sehabis mungkin sepanjang sesi latihan diadakan bagi persiapan ke SUKMA.

“Ada daripada mereka yang mengalami kecederaan ringan tetapi fisioterapi telah dilakukan dan sekiranya berlaku kecederaan berat, baru kita bawa jumpa dengan pakar. Kita mahu kurangkan risiko kecederaan dan pastikan mereka dalam keadaan sihat sebelum berangkat ke Sarawak pada 14 Ogos depan,” katanya.

Sebanyak 488 acara akan dipertandingkan pada temasya SUKMA Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan