SUKAN > BERITA

WARGA UITM RAIH EMAS PADA KEJOHANAN BOLING ANTARABANGSA

19/07/2024 07:08 PM

SHAH ALAM, 19 Julai (Bernama) -- Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Anis Hannani Romzi antara individu yang mengharumkan nama negara apabila muncul juara dalam acara boling berpasukan wanita di Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF).

UiTM dalam kenyataan memaklumkan kejayaan itu dicapai bersama tiga lagi rakan sepasukannya Nur Hazirah Ramli, Adania Mohd Redzwan dan Adelia Nur Irwan Syazalee pada kejohanan yang berlangsung pada 18 Julai lepas di Icheon, Korea Selatan. 

Penuntut jurusan Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi (Atlet Trek) di Fakulti Sukan dan Rekreasi itu menampilkan kecemerlangan luar biasa apabila bersama-sama rakan pasukannya berjaya menundukkan pasukan Singapura dengan dua permainan tanpa balas setelah melakukan 221 dan 236 jatuhan pin pada kejohanan itu.

"Beliau dan rakan sepasukan telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dan kerjasama yang mantap, sekali gus membawa pulang kemenangan yang membanggakan.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UiTM, malah turut membuktikan keunggulan pelajar universiti dalam arena sukan antarabangsa. 

"Penglibatan aktif pelajar UiTM dalam sukan antarabangsa seperti yang ditunjukkan oleh Anis Hannani dan rakan sepasukannya ini merupakan bukti komitmen universiti dalam melahirkan atlet-atlet berkaliber tinggi," kata kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan