SUKAN > BERITA

PARIS 2024: PENAMPILAN KEEMPAT KHAIRULNIZAM BAWA TUAH KE FINAL?

20/07/2024 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Keazaman pelayar elit negara Khairulnizam Mohd Afendy yang menyertai Sukan Olimpik untuk kali keempat berturut-turut, tidak boleh dipandang ringan dalam usaha menebus kekecewaannya pada tiga edisi terdahulu.

Hal ini kerana sejak kali pertama bersaing di Olimpik London 2012, atlet berusia 31 tahun dari Kedah itu tidak pernah berjaya melepasi rintangan awal acara laser untuk berada dalam kelompok 10 terbaik, yang berhak bersaing bagi merebut pingat.

Ketika debutnya di Olimpik London, Khairulnizam hanya mampu menamatkan saingan pada kedudukan ke-47 daripada 49 peserta, manakala di Olimpik Rio 2016 beliau mengakhiri saingan pada kedudukan ke-35 daripada 46 peserta.

Edisi Tokyo 2020 menyaksikan peningkatan untuk beliau, apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-28 daripada 35 peserta, sekali gus disifatkan agak baik sepanjang perjalanannya di temasya paling berprestij dunia itu.

Sama ada percubaan kali keempat ini ada tuah atau sebaliknya kekal menjadi tanda tanya, namun kejayaan meletakkan dirinya dalam kelompok 20 terbaik dunia bagi acara single-handed dinghy ILCA 7 ditambah dengan prestasi agak stabil pada kejohanan disertai tahun ini, merupakan satu isyarat jelas bahawa pelayarannya di Marseille Marina kelak bukan untuk ‘makan angin’.

Bagi tahun ini, Khairulnizam telah menduduki tempat ke-16 daripada 193 pelayar pada Piala Dunia di Mallorca, Sepanyol serta tempat ke-19 daripada 103 pelayar pada Piala Dunia di Kiel, Jerman yang pastinya membakar semangat beliau bagi menjanjikan keputusan lebih baik dilakar di Paris dengan layak ke perlumbaan bagi mendapatkan pingat.

“Saya berada di tahap terbaik sekarang dengan ranking ke-16 dunia, tak ada atlet pelayaran Malaysia yang pernah masuk ranking 20 terbaik dunia. Insya-Allah semasa Olimpik saya cuba buat terbaik, mana tahu saya boleh buat kejutan.

“Sebab saya lihat beberapa siri kejohanan tahun ini, saya boleh dapat nombor satu, tiga dan empat di beberapa perlumbaan, tidak mustahil di Olimpik juga boleh jadi perkara sama dan saya juga telah banyak belajar daripada pengalaman,” katanya.

Khairulnizam telah berlepas ke Marseille Marina pada awal Julai, iaitu venue rasmi sukan pelayaran bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di sana, selain menjalani latihan sehingga temasya itu membuka tirai secara rasmi pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Sebelum ini, pemenang dua pingat perak Sukan Asia itu melayakkan diri ke Olimpik secara merit selepas menghuni tempat ketiga pada saingan Last Chance Regatta di Perancis pada April.

Saingan sukan pelayaran Olimpik Paris bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

 

Profil: 

Nama: Khairulnizam Mohd Afendy

Asal: Kedah

Umur: 31 tahun

Ketinggian: 182 sentimeter

Penampilan Olimpik: Kali keempat

 

Pencapaian:

Pingat perak acara laser Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang 

Pingat perak acara laser Sukan Asia 2014 Incheon

Pingat emas acara laser standard Sukan Sea 2013 Naypyidaw 

Pingat perak acara laser standard Sukan Sea 2015 Singapura

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan