SUKAN > BERITA

'TEMPANG' HADAPI SUKMA, SKUAD SILAT TERENGGANU SASAR LIMA EMAS

24/07/2024 05:34 PM

KUALA NERUS, 24 Julai (Bernama) -- Meskipun bertanding tanpa dua prospek pingat dan dibarisi atlet kurang berpengalaman, skuad silat Terengganu berani meletakkan sasaran lima emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Ketua jurulatih Shahrul Fahmi Abu Bakar berkata seramai 25 pesilat terdiri daripada 16 lelaki dan sembilan wanita akan membawa cabaran negeri dalam 25 acara sukan itu. 

"Namun, kita mungkin bermasalah untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi SUKMA lalu kerana atlet yang bertanding kali ini kurang berpengalaman dan tidak memiliki rekod yang baik dalam pertandingan.

"Ini berbeza dengan SUKMA lalu di mana atlet kita terdiri daripada juara dunia peringkat remaja dan pesilat Sukan SEA. Pada SUKMA lalu kita berjaya meraih lima emas, empat pingat perak dan empat pingat gangsa," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gerbang Sukan Majlis Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Menurut Shahrul Fahmi dua atlet prospek pingat tersebut tidak dapat bertanding kerana masalah kecederaan dan teknikal. 

Sementara itu, ayam tambatan skuad, pesilat negara Mohd Afifi, 20, bertekad untuk menebus kekecewaan dengan merangkul emas pada SUKMA kali ini setelah sekadar membawa pulang gangsa pada edisi lepas di Kuala Lumpur.

Beliau yang bertanding dalam kategori 40-45 kilogram amat menitikberatkan penjagaan berat badan bagi fasa akhir ini, selain menjalani latihan tambahan secara persendirian untuk meningkatkan kemahiran dan taktikal.

"Penjagaan makan amat penting bagi memastikan berat badan konsisten dan saya mengamalkan diet yang tinggi protein,” katanya yang amat mendambakan kilauan emas memandangkan SUKMA kali ini edisi terakhir buatnya.

"SUKMA kali ini amat bermakna kerana ia adalah penampilan terakhir saya memandangkan umur yang dah mencapai 20 tahun ini.

"Saya mahu ia menjadi hadiah berharga bukan sahaja untuk diri sendiri, malah keluarga dan negeri Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan