SUKAN > BERITA

PENDAFTARAN LIGA E-SUKAN MEL 2024 KINI DIBUKA

25/07/2024 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pendaftaran liga e-sukan terbesar Malaysia Esports League (MEL) 2024 bagi Liga Negeri dan Kebangsaan kini dibuka sehingga 4 Ogos ini. 

Esports Integrated (ESI) memaklumkan pemain e-sukan tanah air boleh mendaftar menerusi platform www.esukan.gg untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan bersama-sama 13 Persatuan e-sukan negeri dan tiga persatuan e-sukan Wilayah Persekutuan itu. 

“Ini adalah kali keempat penganjuran MEL oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui inisiatif ESI, dan pada tahun ini MEL menampilkan empat judul permainan untuk liga dan dua judul permainan untuk Siri Terbuka dengan menawarkan hadiah tunai terkumpul berjumlah RM264,700.

“Empat judul permainan yang dipertandingkan di Liga Negeri dan Kebangsaan ialah Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBG), Garena Free Fire dan eFootball Mobile. Manakala untuk Siri Terbuka bakal mempertandingkan judul permainan Valorant dan Tekken 8,” kata ESI dalam kenyataan hari ini.  

ESI berkata Liga Negeri akan berlangsung dari 9-18 Ogos manakala Liga Kebangsaan bakal berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 Okt.

Lebih menarik tahun ini apabila format liga MEL telah diberi nafas baru, yang menyaksikan para pemain yang bakal mewakili negeri mereka di Liga Kebangsaan akan dipilih oleh persatuan e-sukan negeri masing-masing dan bukannya berdasarkan penyertaan pasukan seperti tahun-tahun sebelum ini.  

“Untuk maklumat lanjut layari media sosial Esport Integrated,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan