SUKAN > BERITA

SKUAD BERBASIKAL KEDAH 'BERKAMPUNG' AWAL DI SARAWAK

25/07/2024 04:12 PM

JITRA, 25 Julai (Bernama) -- Skuad berbasikal Kedah akan 'berkampung’di Sarawak bagi mengharungi baki kira-kira dua minggu sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 membuka tirai pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Ketua jurulatih berbasikal SUKMA Kedah Noor Alfizar Othman berkata tempoh masa itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri dengan laluan-laluan yang digunakan untuk perlumbaan sebenar nanti.

“Kami akan berangkat ke Sarawak pada 31 Julai ini dan ada baki kira-kira dua minggu di sana. Kita akan gunakan masa yang ada untuk menguasai laluan yang digunakan dan membuat pemantauan awal.

“Kesihatan atlet berada pada tahap terbaik. Setakat ini tiada kecederaan yang dialami… kita berharap ia berterusan sehingga SUKMA berakhir supaya Kedah dapat mengulangi pencapaian pada SUKMA 2022,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Noor Alfizar berkata skuad berbasikal yang baru pulang dari Sarawak setelah sebulan menjalani latihan di Bumi Kenyalang, turut berlatih di Terengganu, Putrajaya dan Melaka.

Menurutnya, skuad berbasikal Kedah kali ini menampilkan enam muka baharu daripada 18 pelumba terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita yang akan mengambil bahagian dalam 13 acara.

“Sesi latihan di Jitra (Kedah) lancar dan dijalankan setiap hari dalam dua sesi iaitu sebelah pagi pada 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala sebelah petang pula pada 5.30 hingga 6.45 petang,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan kem berbasikal Kedah menyasarkan tiga pingat emas iaitu menerusi acara lebuh raya wanita berpasukan atau individu, MTB wanita dan MTB relay. 

“Sasaran tiga emas disandarkan kepada Phi Kun Pan yang merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia 2023 Thailand dan pingat gangsa Kejohanan Basikal Bukit Asia (MTB) 2024 Putrajaya bagi acara Cross Country Olympic (XCO),” katanya. 

Sementara itu, pelumba harapan Kedah Phi Kun, 21, berkata tanggungjawab yang digalasnya pada SUKMA kali ini sangat berat kerana sasaran tiga emas ditumpukan kepadanya.

“Pada SUKMA 2022, saya sumbang satu pingat emas bagi kategori MTB tapi kali ini tanggungjawab saya lebih berat.

“Rasa terbeban juga tapi apabila orang letak kepercayaan, saya kena berusaha keras dan banyakkan persiapan supaya dapat sumbang emas untuk Kedah,” kata pelumba yang telah bersama skuad berbasikal Kedah sejak berusia 14 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan