SUKAN > BERITA

TENGKU MUHAMMAD CABAR PAHANG RANGKUL 60 PINGAT EMAS SUKMA SARAWAK

25/07/2024 09:30 PM

KUANTAN, 25 Julai (Bernama) — Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah mencabar kontinjen Pahang untuk merangkul sebanyak 60 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak, Ogos ini. 

Beliau menzahirkan cabaran itu mengatasi sasaran 40 emas yang diletakkan oleh Pahang sebelum ini dengan tujuan membangkitkan semangat atlet negeri untuk membuat yang terbaik. 

Gunakanlah platform ini untuk menunjukkan kehebatan rakyat Pahang, atlet Pahang. Kita sasar 40, insya-Allah, tahun ini, saya nak 60 sasaran pingat emas,” katanya. 

Tengku Muhammad berkata demikian kepada atlet Pahang selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Pahang Ke Sukan Malaysia XXI, Sarawak 2024 di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Beliau yang mewakili Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi majlis tersebut turut mengingatkan atlet untuk menjaga nama Pahang dan menunjukkan kelakuan yang baik, berintegriti, bersopan, menghormati tuan rumah serta sesiapa sahaja.

Ketika ditanya mengenai cabaran Tengku Muhammad, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata cabaran 60 pingat emas itu terlalu tinggi tetapi kontinjen Pahang menerimanya dan cuba melakukan terbaik. 

SUKMA kali ini yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan menyaksikan Pahang menghantar seramai 564 atlet, 123 jurulatih dan 46 pengurus pasukan dengan mempertaruhkan 50 peratus daripada mereka merupakan atlet baharu.

Pahang menyasarkan 40 pingat emas, 19 perak dan 64 gangsa berpandukan kepada potensi dan prestasi semasa.

Pada SUKMA Kuala Lumpur 2022, kontinjen Pahang meraih 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa dan kedudukan kesembilan keseluruhan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan