SUKAN > BERITA

ATLET MELAKA DAPAT 'TONIK' AWAL KE SUKMA 2024

25/07/2024 05:10 PM

JASIN, 25 Julai (Bernama) -- Imbuhan khas menanti atlet Melaka yang meraih pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos depan, kata Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) VP Shanmugam.

Beliau berkata imbuhan berkenaan sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri kepada atlet yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dan mengharumkan nama Melaka.

Beliau berkata nilai imbuhan khas itu berdasarkan warna pingat dimenangi iaitu RM5,000 bagi pemenang pingat emas, RM3,000 perak dan RM1,500 gangsa.

"Imbuhan yang ditawarkan ini sebagai suntikan semangat kepada atlet yang bertanding untuk mempamerkan aksi terbaik di samping menghargai usaha dan penat lelah mereka.

"Kita juga dimaklumkan atlet yang memenangi pingat turut berpeluang menerima imbuhan tambahan daripada bapa dan agensi angkat masing-masing mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan bendera kepada Shanmugam yang juga Ketua Kontinjen Melaka ke SUKMA 2024 pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri di Dewan Alamanda, Jasin, di sini hari ini.

Shanmugam berkata Melaka menghantar 420 atlet dan 197 pegawai dengan kumpulan pertama berlepas ke Sarawak pada 10 Ogos bagi menjalani latihan dan memulakan pertandingan peringkat awal.

Sementara itu, beliau berkata Melaka optimis dengan sasaran 20 pingat emas walaupun beberapa acara menampilkan muka-muka baharu membuat kemunculan sulung di temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan.

"Sukan wushu sebelum ini yang menjadi lubuk emas kepada Melaka mempertandingkan 25 pingat emas. Tahun ini kita menghantar 18 atlet dengan lapan daripadanya adalah muka baharu namun kita percaya dengan kemampuan mereka untuk menghadiahkan pingat kepada Melaka.

"Meskipun pada kejohanan kali ini setiap atlet hanya boleh bertanding satu acara sahaja tetapi kita yakin wushu masih dapat sumbangkan emas dan percaya menerusi kategori baharu yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu sanda, turut menyumbang emas," katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka Asri Ninggal berkata atlet Melaka kini sudah 100 peratus bersedia dan kesemua mereka didapati bebas daripada sebarang kecederaan serius.

"Kita juga bekerjasama dengan sebuah pusat fisioterapi dan rehabilitasi di negeri ini bagi memberi rawatan kepada atlet yang mengalami kecederaan dengan kos sepenuhnya ditanggung MSN Melaka," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan