SUKAN > BERITA

Hampir 700 Pesilat Sertai Kejohanan Olahraga Dan Seni Jemputan Borneo

30/07/2024 12:12 PM

LABUAN, 30 Julai (Bernama) -- Hampir 700 pesilat akan berhimpun di pulau bebas cukai ini bagi menyertai Kejohanan Silat Olahraga dan Seni Jemputan Borneo yang dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

 Yang DiPertua Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Labuan Mohd Khairul Abdul Ghani berkata kejohanan terbabit menjanjikan untuk menonjolkan kekayaan warisan budaya dan kemahiran seni mempertahankan diri peserta dari pelbagai wilayah.

Beliau berkata dianjurkan oleh Pesaka dengan kerjasama persatuan silat dari Sabah, Sarawak dan Brunei, kejohanan berkenaan bakal menjadi acara penting dalam kalendar seni mempertahankan diri.

Kejohanan julung kali itu, katanya dijadual dirasmikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

“Memandangkan pertama kali dianjurkan, kejohanan ini ditumpukan kepada mereka yang berada di kawasan Borneo.

“Susulan sambutan yang memberangsangkan dengan sejumlah 670 pesilat telah mengesahkan penyertaan, kami akan memperluas penyertaan kepada persatuan silat di Semenanjung pada tahun depan untuk mewujudkan kejohanan yang lebih inklusif,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

  Mohd Khairul berkata kejohanan terbabit bermatlamat memupuk pemahaman lebih mendalam tentang silat sebagai seni mempertahankan diri dan ekspresi budaya sekali gus menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada orang ramai.

“Pelbagai kategori ditampilkan pada kejohanan ini yang membolehkan mereka yang menceburi seni silat dari pelbagai peringkat umur dan tahap kemahiran untuk mempamerkan bakat masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan