SUKAN > BERITA

Johnathan Atur Semula Langkah Untuk Olimpik Los Angeles 2028

31/07/2024 03:59 PM

SEPANG, 31 Julai (Bernama) -- Mengakhiri cabaran Sukan Olimpik Paris 2024 dengan keputusan kurang memberangsangkan, penembak negara Johnathan Wong akan mengatur semula langkah untuk layak ke edisi Los Angeles 2028.

Penembak berusia 31 tahun yang membuat penampilan kedua pada temasya empat tahun sekali itu berkata beliau akan berusaha memperbaiki prestasinya dengan menghasilkan keputusan lebih konsisten setiap kali menyertai kejohanan dalam dan luar negara.

“Saya akan buat yang terbaik untuk layakkan diri ke Los Angeles. Sekarang ini, bagi saya adalah untuk mendapatkan keputusan konsisten supaya kita dapat tunjukkan kepada semua bahawa sukan menembak juga boleh memberikan keputusan yang bagus.

“Kalau boleh, saya nak layak ke Los Angeles lebih awal berbanding sebelum ini supaya nanti boleh dapat dana lebih awal, jadi persiapan nanti lebih mencukupi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Johnathan yang beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol lelaki di temasya Olimpik Paris 2024 terkandas di pusingan kelayakan apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-27 daripada 33 penembak selepas mengumpul 570 mata.

Johnathan berkata dalam masa terdekat ini, fokusnya terarah kepada usaha 'memikat' barisan kejurulatihan untuk menempatkan diri dalam pasukan negara ke Sukan SEA Thailand 2025.

“Setakat ini, yang terdekat kita ada Sukan SEA, kita juga ada beberapa temasya lain seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.

Bagaimanapun, Johnathan berkata buat masa ini, beliau akan berehat terlebih dahulu sebelum kembali menjalani latihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan