SUKAN > BERITA

Pentas Olimpik Paris Beri Pengalaman Berharga Buat Hoe Yean, Rouxin

31/07/2024 09:39 PM

SEPANG, 31 Julai (Bernama) -- Perenang negara Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin mengakui beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024, memberi pengalaman berharga buat mereka untuk digunakan dalam kejohanan dalam dan luar negara selepas ini.

Hoe Yean, 21, mengakui mereka berdua yang beraksi di temasya empat tahun sekali itu menerusi slot wild card, perlu berusaha lebih keras memperbaiki prestasi sekiranya mahu membuat penampilan pada edisi Los Angeles 2028.

“Ini penampilan pertama kami, jadi pengalaman dan keseluruhan situasi berbeza. Kami di sana untuk belajar juga, jadi ia satu peluang belajar yang bagus untuk saya.

“Jadi saya mahu bekerja dengan lebih kuat lagi dan kemudiannya berharap kami akan ke Los Angeles (LA) 2028,” katanya kepada Bernama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama Rouxin di sini malam ini.

Pada acara berlangsung di Paris La Defense Arena, Hoe Yean menduduki tempat keempat dengan catatan masa 3 minit dan 51.66 saat (s) pada saringan kedua 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sabtu.

Namun catatan masanya itu gagal menempatkan atlet itu dalam kalangan lapan perenang terbaik untuk mara ke final, apabila hanya menduduki tempat ke-27 secara keseluruhan.

Manakala Rouxin yang mengungguli saringan pertama 100m kuak dada wanita pula, gagal menempatkan diri dalam 16 terbaik (separuh akhir) apabila menamatkan saingan secara keseluruhan di tempat ke-33 dengan catatan 1:12.50s, pada Ahad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan