SUKAN > BERITA

Paris 2024: Aaron-Wooi Yik Hadapi Laluan Berliku Di Suku Akhir

01/08/2024 02:54 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 31 Julai (Bernama) -- Beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal mengharungi laluan berliku di pentas suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila diundi menentang jaguh India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, esok.

Meskipun memiliki rekod lapan kemenangan ke atas beregu nombor lima dunia dalam 11 pertemuan sebelum ini namun wakil India itu berjaya mengatasi Aaron-Wooi Yik dengan straight sets pada tiga pertemuan terakhir iaitu di Terbuka Indonesia 2023, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Terbuka India Januari lalu.

Sekiranya mampu melepasi halangan esok, Aaron-Wooi Yik bakal mengharungi satu lagi cabaran sengit menentang pilihan utama dari China Liang Wei Keng-Wang Chang.

Beregu China itu diundi menentang gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto bagi pusingan suku akhir.

Sementara itu, juara bertahan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan akan bertemu wakil Thailand Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren manakala beregu nombor dua dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark mencabar juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Aaron-Wooi Yik muncul naib juara Kumpulan A di belakang beregu nombor satu dunia Wei Keng-Chang yang menewaskan mereka 22-24, 14-21 semalam.

Sebelum itu beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan