SUKAN > BERITA

240 Kaunselor Sedia Berkhidmat Pada Temasya SUKMA, Para SUKMA 2024

01/08/2024 08:58 PM

KUCHING, 1 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 240 petugas kaunselor Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dan Para SUKMA sedia memberi perkhidmatan terbaik sepanjang temasya sukan itu berlangsung.   

Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan kesemua petugas berkenaan telah menjalani latihan Program Pemerkasaan Petugas Kaunselor di Wisma Wanita di sini.

Menurut kenyataan itu antara topik yang ditekankan semasa latihan tersebut adalah Peranan Petugas Kaunselor dan Bantuan Kecemasan Psikologi kepada atlet.

“Sebanyak 160 petugas kaunselor SUKMA 2024 dan 80 petugas kaunselor Para SUKMA telah dilantik bagi memastikan kesejahteraan emosi dan mental atlet terjamin sepanjang temasya sukan ini.

“Petugas kaunselor yang dilantik akan ditempatkan di pusat sehenti bagi memudahkan atlet mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh Jawatankuasa Kebajikan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan semua petugas kaunselor berkenaan akan mengguna pakai garis panduan yang telah disediakan.

Program pemerkasaan itu turut melibatkan dua pegawai daripada Perbadanan Sukan Sarawak iaitu Chong Siew Kian dan Rejina Gasin serta pensyarah daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Amalia  Madihie selaku penceramah.

SUKMA 2024 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini, melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri .

Temasya kali ini mengetengahkan 37 jenis sukan melibatkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan