SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Skuad Hoki Perak Mahu Ulangi Sejarah 10 Tahun Lepas

04/08/2024 09:24 AM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Ahmad Fareedz Iqram Mohd Ramzuzzaman baru berusia tujuh tahun ketika kali terakhir skuad hoki Perak meraih pingat emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA), 10 tahun lepas.

Pada SUKMA Perlis 2014 itu, Perak membenam cabaran Negeri Sembilan 6-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar.

Beraksi di SUKMA sememangnya menjadi impian Ahmad Fareedz Iqram, 17, sejak di bangku sekolah rendah lagi dan dia bertekad membantu Perak mengulangi pencapaian menggenggam emas dalam penampilan sulungnya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak.

Tersenarai antara 25 pemain yang dibawa ke Sarawak, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu mahu menampilkan prestasi berkualiti bagi menarik perhatian jurulatih selaku penyerang utama pasukan.

“Memang sukar rebut tempat tetapi kalau kita usaha bersungguh-sungguh terutama dalam latihan, mungkin peluang untuk mendapatkan minit permainan sebagai pemain utama akan lebih terbuka,” katanya ketika ditemui Bernama.

Pada SUKMA kali ini, skuad hoki Perak diperkuatkan dengan enam pemain remaja kebangsaan yang menjadi nadi utama pasukan.

Dalam pada itu, kawan sekolah yang juga rakan sepasukannya, Muhammad Nur Iszlanshah Mohd Isa, 17, berkata peluang menyarung jersi ‘belang tarung tiga warna’ tidak akan dipersia-siakan khususnya bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya dan dua lagi rakan ialah pemain paling junior dalam pasukan yang dibawa untuk ke SUKMA kali ini. Memang tak sangka kerana persaingan untuk mewakili Perak amat sengit, namun mungkin ini namanya rezeki,” katanya.

Pemain di posisi tengah itu berkata ketika ini, barisan kejurulatihan pasukan kini giat melengkapkan persediaan pemain terutama dari segi mental dan fizikal.

“Kami menjalani latihan setiap hari kecuali Ahad dan melibatkan dua sesi. Di sebelah pagi, masuk gimnasium untuk kuatkan anggota badan dan sebelah petang di padang latihan,” katanya.

Penolong jurulatih hoki SUKMA Perak Mohd Azmi Yahya berkata sasaran Perak untuk memenangi pingat emas pada temasya kali ini dilihat amat cerah berdasarkan kualiti yang ada pada setiap pemain.

“Saya yakin adunan para pemain pada kali ini akan membawa tuah dan kita harapkan kemampuan dan kualiti yang ada pada pemain kebangsaan akan membantu pasukan,” katanya.

Ditanya pencabar utama dalam acara itu, Mohd Azmi berkata Pahang dan Johor dilihat antara pasukan yang perlu diberi perhatian pada temasya kali ini kerana memiliki pemain berkualiti.

SUKMA 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan