SUKAN > BERITA

Kalah Dengan 1kg Lebih Mengecewakan - Mohamad Aniq

08/08/2024 07:52 AM

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 7 Ogos (Bernama) -- Badang negara menggambarkan betapa kecewanya beliau apabila terlepas peluang meraih pingat dengan perbezaan satu kilogram (1kg) berbanding mengalami kekalahan teruk.

Reaksi itu dikongsi Mohamad Aniq Kasdan apabila terlepas penamat podium dalam acara angkat berat kategori 61kg lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Bercakap kepada Bernama, atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau membuat percaturan untuk memburu pingat dengan bebanan 174kg pada percubaan kedua dan ketiga clean & jerk, namun tidak dapat disempurnakan dengan baik.

“Saya dah cuba angkat lebih daripada apa yang saya pernah buat sebelum ini (172kg dalam latihan), tetapi tidak berjaya. Jika berjaya dengan bebanan 174kg itu, boleh dapat pingat perak dan buat rekod kebangsaan baharu (bagi clean & jerk). 

“Terpaksa pulang dengan kekecewaan tapi pada masa sama, saya dapat pengalaman baharu dalam sukan ini. Saya berpuas hati dengan angkatan snatch sebab dapat lawan saya punya ketakutan untuk rekod baharu, cuma clean & jerk tak jadi,” katanya di South Paris Arena 6.

Mohamad Aniq, yang bakal beraksi di Kejohanan Komanwel 2024 di Fiji pada 17 hingga 24 Sept depan, berjanji untuk terus menampilkan prestasi terbaik bagi meraih pingat dalam kejohanan akan datang. 

Terdahulu, Mohamad Aniq menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan rekod kebangsaan baharu iaitu angkatan keseluruhan 297kg, 1kg mengatasi rekod kebangsaannya.

Bagi acara snatch, Mohamad Aniq melebur rekod kebangsaan 129kg milik Muhamad Aznil Bidin, apabila mengangkat bebanan 130kg namun beliau hanya berjaya dalam percubaan 167kg bagi clean & jerk.

Mohamad Aniq sebelum ini memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170kg dan keseluruhan 296kg.

Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310kg (143kg OR, 167kg)) manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan muatan 303kg (132kg, 171kg) dan wakil Amerika Syarikat Hampton Morris dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg).

Sementara itu, pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim berkata pihaknya mengambil keputusan untuk lakukan percubaan 174kg kerana berdasarkan rekod sememangnya Morris, pemegang rekod dunia (176kg) mampu mengatasi Mohamad Aniq untuk pingat. 

“Namun, saya sangat berpuas hati kerana Aniq masih muda. Ini adalah satu daripada kategori baharu untuk beliau selepas hanya setahun lepas tukar daripada kategori 55kg (yang tiada dalam Olimpik). Jika digilap dengan betul, beliau mampu menghadirkan saingan lebih baik.

“Cuma, kita berharap beliau lebih konsisten selepas ini untuk mencabar pingat dalam temasya dan kejohanan utama,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan