EKONOMI > BERITA

Petronas Tamatkan Operasi Di Sudan Selatan

08/08/2024 11:17 AM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan menamatkan operasinya di Sudan Selatan yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Petronas Carigali Nile Ltd (PCNL).

Dalam kenyataan di laman sesawangnya pada Rabu, syarikat minyak dan gas negara itu berkata keputusan berkenaan susulan daripada pelaksanaan inisiatif dua tahun membabitkan usaha pelupusan sejajar dengan strategi pelaburan jangka panjang Petronas.

“Ini juga seiring persekitaran industri yang berubah serta peralihan tenaga yang dipercepat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PCNL akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam memastikan proses peralihan berjalan lancar selain mengambil kira hak pekerjanya selaras dengan undang-undang yang digunapakai, perjanjian petroleum serta dasar dan prosedur Petronas.

Kehadiran PCNL dalam industri minyak dan gas di Sudan Selatan adalah berdasarkan model syarikat operasi bersama (JOC) dengan kepentingan dalam tiga JOC iaitu Dar Petroleum Operating Co Ltd, Greater Pioneer Operating Co Ltd dan Sudd Petroleum Operating Co Ltd yang ditubuhkan PCNL bersama kontraktor perjanjian cari gali dan perkongsian pengeluaran lain.

Maklumat di laman sesawang Petronas menyatakan syarikat minyak dan gas itu menerusi PCNL telah beroperasi di Sudan Selatan sejak 2011.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan